Warisan elak tanding kerusi menua di semenanjung


Mohd Farhan Darwis

Warisan tumpu kawasan Parlimen dengan pertambahan pengundi yang besar, kata Koordinator Warisan Pulau Pinang Jeff Ooi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2022.

PARTI Warisan hanya akan bertanding di kawasan yang dirasakan mampu memberi cabaran kepada lawan di semenanjung, kata pemimpin parti yang menggerakkan usaha berkenaan.

Koordinator Warisan Pulau Pinang Jeff Ooi memberitahu The Malaysian Insight, mereka hanya memberikan tumpuan di kawasan Parlimen dengan pertambahan pengundi yang besar.

“Kita hanya masuk ke kawasan yang menunjukkan pertambahan pengundi yang pesat.

“Kita nak buat tarikan dengan mana-mana kawasan yang ada anak muda dan orang yang masih produktif, bekerja dan masih bayar cukai. Kita tumpu kawasan yang macam itu,” katanya.

Jawatankuasa khusus Warisan Pulau Pinang akan menilai dan menolak kerusi dianggap menua tanpa peningkatan pengundi baharu.

“Kita akan pilih-pilih (tanding kerusi Parlimen). Ada satu badan ditubuhkan macam mana kita senarai pendek kawasan bertanding dan kemungkinan menang.

“Kita tak masuk sangat kawasan Parlimen menua yang mana anak muda berhijrah (keluar) dan mempunyai infrastruktur usang.

“(Pengundi) di kawasan tua itu penyokong tegar, dan tidak akan berkalih, kita elakkan kawasan macam itu,” katanya.

Jawatankuasa Warisan antara lain akan mengambil kira suhu politik di kawasan terbabit sebelum mempertimbangkan untuk menurunkan calon, kata bekas ahli Parlimen DAP itu.

“Kita (nilai) berdasarkan data, risikan pergolakan politik setempat. Kita juga gunakan taktik gerila, kita akan mengepung (kawasan Parlimen sasaran),” katanya.

Selain itu, jawatankuasa yang diketuainya itu turut menilai calon berpotensi untuk Warisan ketengahkan sebagai calon khususnya di Pulau Pinang.

“Syarat kami mestilah antara 35 hingga 50 tahun kalau untuk dibuat pertimbangan sebagai calon, mesti berkelayakan ijazah,” katanya.

Tambahnya, Warisan Pulau Pinang sedang meneliti kira-kira 10 dari 13 kerusi Parlimen di negeri itu, namun belum memutuskan jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi setakat ini.

Mengulas isu sama, Koordinator Warisan Johor Suhaimi Salleh berkata, parti itu akan menapis permohonan dan tidak menerima penyertaan mana-mana pihak dengan mudah.

Johor gelanggang pertama yang dimasuki Warisan di semenanjung selepas menguasai Sabah selama dua tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2022.

Bekas Adun Kukup itu berkata Warisan juga tidak fokus membuka bahagian di negeri itu, sebaliknya hanya memberikan tumpuan kepada kualiti perkhidmatan mereka.

“Untuk PRU15, Warisan tak berhasrat buka bahagian banyak, setakat ini empat hingga lima bahagian sahaja, tahun depan tambah lagi dua atau tiga bahagian.

“Kita parti yang baharu, dan nak wujudkan parti sebagai kuasa ketiga yang menjadi alternatif daripada parti politik yang ada.

“Mungkin beberapa tahun lagi baru seluruh negeri akan ada Warisan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Suhaimi yang juga bekas naib ketua bahagian Umno Tanjung Piai berkata, setakat ini Warisan Johor merekodkan sekitar 1,000 keahlian.

“Kita tak nak ahli yang ramai tapi ahli yang bekerja untuk masyarakat dan masyarakat menyokong kita. Setakat ini penerimaan rakyat OK. Tiada yang caci-cerca,” katanya.

Namun, beliau mengakui rakyat Johor masih melihat Warisan sebagai parti berasaskan Sabah, memandangkan ia ditubuhkan di negeri itu.

Berbeza dengan partinya sebelum ini, Suhaimi melihat Warisan mengamalkan pendekatan berbeza dengan memberikan kuasa lebih besar kepada negeri untuk menguruskan parti.

“Apa yang seronok dalam Warisan, ada pemimpin fleksibel. Cara kita urus negeri lebih banyak autonomi diberi kepada negeri,” katanya.

Jelasnya kebebasan itu antara lain merangkumi usaha mempromosi ideologi parti seperti memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam masyarakat pelbagai kaum.

“Pusat beri kuasa penuh negeri untuk sediakan barisan pemimpin negeri dan bahagian,” katanya.

Katanya lagi, Warisan Johor meletakkan sasaran bertanding sekitar 10 dari 26 kerusi Parlimen di negeri itu, khususnya di kawasan yang memiliki bilangan pengundi campuran.

“Ahli kita belum ramai, jadi kita letak tokoh sebelum dipilih mereka memang sudah berkhidmat kepada masyarakat.

“Konsep kita orang yang banyak tolong orang atas kapasiti peribadi dan kita panjangkan dengan jadikan calon, mudah-mudahan lebih ramai dia dapat tolong apabila dia jadi wakil rakyat.

Johor merupakan gelanggang pertama yang dimasuki Warisan di semenanjung selepas menguasai Sabah selama dua tahun.

Warisan tewas di semua enam kerusi ditandingi mereka dalam PRN Johor, iaitu di Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas.

Suhaimi bagaimanapun gembira kerana melihat Warisan berpeluang memberi tawaran kepada pengundi.

“Yang penting lebih mudah kita nak bawa wadah perjuangan untuk rakyat faham, cuma dalam masa terdekat nak fahamkan rakyat bukan mudah.

“Sambutan menggalakkan daripada rakyat, dan kita tawarkan sebagai gelombang ketiga kepada politik tanah air,” kata Suhaimi lagi.

Selain itu, Warisan juga berhati-hati melantik pemimpin kerana enggan melihat parti itu rosak disebabkan pemimpinnya.

“Kita parti baru kita tak nak rosak dengan budaya politik lama. Kita tak nak. Kita nak cegah politik wang, salah guna kuasa, perpecahan tapi kita bawa balik dalam parti susah nak kawal nanti.”

Warisan gagal mempertahankan Sabah dalam persaingan PRN tahun 2020. Beberapa orang pemimpin parti itu juga bertindak keluar parti selepas itu. – 15 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen