SEKURANG-KURANGNYA 20,000 pendatang menyeberangi Selat Inggeris secara haram menggunakan bot kecil tahun ini, hampir dua kali ganda jumlah tahun lalu ketika ini, demikian angka yang dikeluarkan kerajaan Britain hari ini.
Seramai 607 pendatang lagi dikesan menyeberangi laluan perkapalan tersibuk antara UK dan benua Eropah semalam sekali gus menjadikan jumlah semasa untuk tahun ini kepada 20,017.
Terdapat 28,526 pendatang dikesan menyeberangi selat itu pada 2021, dan sekitar 11,300 dikesan pada tempoh yang sama tahun lepas.
Bilangan mereka yang menyeberangi selat itu meningkat secara berterusan setiap tahun, daripada 299 orang pada 2018.
Ia adalah topik politik hangat di UK, dengan kedua-dua calon perdana menteri baharu berjanji untuk mengekang isu tersebut.
Bagaimanapun, rancangan kerajaan untuk menghantar sebahagian daripada mereka yang tiba di UK dengan bot kecil ke Rwanda untuk menuntut suaka setakat ini dihalang mahkamah. – AFP, 14 Ogos, 2022.
Komen