Lelaki warga Singapura hilang ketika daki Gunung Panti Barat


SEORANG lelaki warga Singapura dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika mendaki di Gunung Panti Barat, Batu Ampat dekat Kota Tinggi, Johor semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kira-kira jam 7.10 malam tadi.

Beliau berkata laporan dibuat sendiri mangsa, Neo Thiam Ming, 40, melalui Malaysia Emergency Response Services (MERS 999) dan kemudiannya disalurkan kepada JBPM dengan memaklumkan dia tersesat.

“Bertindak atas maklumat itu, pasukan operasi mencari dan menyelamat digerakkan ke lokasi terbabit yang diketuai Polis Diraja Malaysia dan dibantu agensi berkaitan termasuk JBPM, Jabatan Perhutanan dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Belum dapat dipastikan sama ada mangsa (Neo) mendaki berseorangan atau berkumpulan. Setakat jam 2 petang tadi, mangsa belum dijumpai dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussin turut menasihatkan orang ramai yang berhasrat melakukan aktiviti pendakian supaya melaporkan terlebih dahulu ke balai polis atau pejabat perhutanan berhampiran. – Bernama, 14 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen