SEORANG buruh yang juga orang kena tahan (OKT) di lokap Balai Polis Bachok, Kelantan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bachok selepas dipercayai bergaduh dengan tahanan lain, semalam.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 32 tahun itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di klinik itu pada jam 11 pagi.
Katanya, siasatan mendapati mangsa dipercayai bergaduh dengan tahanan lain di dalam lokap sehingga dia mengalami sesak nafas sebelum diasingkan ke lokap lain.
“OKT dimasukkan ke lokap balai polis itu selepas ditahan atas tiga kes dadah pada 2 Ogos lalu dan sepatutnya dituduh di mahkamah hari ini atas kesalahan itu.
“Malah, OKT juga dikatakan sering menimbulkan masalah kepada tahanan lain dengan membuang air kecil dan besar di dalam sel lokap itu,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk bedah siasat.
“Kita akan tunggu laporan bedah siasat hari ini. Berdasarkan laporan itu dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lokap, kita akan dapat mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya yang menambah kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. – Bernama, 14 Ogos, 2022.
Komen