LEBIH baik Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan para pegawainya digantung tugas kerana gagal menyelesaikan masalah kekurangan pekerja yang menyulitkan perniagaan, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.
Saravanan katanya perlu membuka mata, dan menjalankan tugasnya dengan membenarkan permohonan pengambilan pekerja asing diteruskan.
“Dia harus menumpukan perhatian untuk memotong kerenah birokrasi di sebalik banyak permohonan yang menunggu pemprosesan dan kelulusan, sehingga menyebabkan industri mencari sistem pemprosesan yang cekap bagi menyegerakan permohonan.
“Adalah lebih baik Saravanan menggantung jawatan diri dan pegawainya selama 2 minggu daripada mengenakan kesusahan yang tidak perlu kepada perniagaan dengan mengulangi penggantungan 2 minggu sebelum ini bagi permohonan pengambilan pekerja asing dari 15-31 Ogos ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Lim, penggantungan itu akan memburukkan lagi masalah kekurangan tenaga buruh di seluruh negara.
“Ini akan menghalang usaha semua industri untuk mengatasi kekurangan 1.2 juta pekerja dan kerugian diakibatkannya sebanyak RM33.5 bilion kepada sektor perladangan, industri sarung tangan getah dan alat ganti kereta.
“Industri lain juga akan mencatatkan kerugian berpuluh bilion ringgit,” katanya.
Kementerian Sumber Manusia pada minggu lepas umum permohonan pengambilan pekerja warga asing akan dihentikan buat sementara waktu mulai 15 hingga 31 Ogos.
Langkah itu bagi membolehkan semakan ke atas tatacara permohonan pekerja warga asing dibuat susulan pindaan kepada Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang akan berkuat kuasa mulai 1 September depan, katanya dalam kenyataan.
“Semua permohonan yang dikemukakan oleh majikan sebelum atau pada 14 Ogos akan diproses dan diselesaikan sebelum atau pada 31 Ogos,”
Mengulas perkara itu, Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) berkata kira-kira 1,500 restoran mamak seluruh negara dijangka tutup akhir tahun ini susulan kekurangan pekerja asing dan kesukaran mencari pekerja tempatan.
Presiden Presma Jawahar Ali Taib Khan dipetik The Malaysian Reserve minggu lalu berkata kekurangan pekerja asing semakin kritikal menyebabkan 3,000 pengusaha restoran daripada 12,000 ahli yang berdaftar dengan persatuan itu terpaksa ditutup sejak penularan wabak Covid-19 dua tahun lalu.
“Kekurangan pekerja memberi impak besar kepada kelangsungan hidup industri perkhidmatan makanan sejak larangan kemasukan pekerja asing berkuat kuasa.
“Industri restoran mamak memerlukan sekurang-kurangnya 30,000 lagi pekerja untuk mengisi kekosongan di seluruh negara,” katanya, lapor the Malaysian Reserve.
Sementara itu, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berkata prosedur permohonan pekerja asing tidak seharusnya dihentikan kerana ia akan mengganggu pemulihan ekonomi semasa.
Presidennya Soh Thian Lai dalam kenyataan semalam berkata majikan masih dalam proses menggantikan kekurangan pekerja semasa tempoh pandemik berikutan pembekuan pengambilan untuk tempoh dua tahun, manakala yang lain pula dalam proses memnuhi permintaan pelanggan yang tertunggak.
“Penggantungan pemprosesan permohonan pekerja asing yang kerap akan mengganggu perancangan industri dalam mendapatkan pekerja mereka apabila industri terus menghadapi pelbagai cabaran terhadap operasi termasuk kekurangan buruh yang menjejaskan keupayaan mereka untuk beroperasi pada kapasiti maksimum ke arah pemulihan perniagaan,” katanya. – 14 Ogos, 2022.
Komen