Bercucuk tanam kini jadi keperluan kerana harga barang naik


Kalidevi Mogan Kumarappa

Harga barangan makanan yang semakin naik menjadikan aktiviti bercucuk tanam di kediaman jadi pilihan ramai orang. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2022.

HOBI bercucuk tanam di rumah kini sudah beralih fungsi sebagai keperluan seiring dengan kenaikan harga barang, kata penggiat aktiviti ini.

Seorang pesara polis Zakaria Hassan berkata beliau mula bercucuk tanam di kawasan rumah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini meneruskannya untuk mengurangkan perbelanjaan harian.

“Saya mula menanam pokok buah-buahan, sayur-sayuran, bunga atau tanaman hiasan ini sebagai hobi sepanjang tempoh PKP selain niat untuk menghijaukan persekitaran rumah saya.

“Tetapi kini, kekangan kewangan turut mendorong saya untuk kembali berbudi kepada tanah, meskipun kawasan tanah hanya sekangkang kera,” kata Zakaria kepada The Malaysian Insight.

Pada awalnya, beliau pada awalnya mengikut trend menanam tanaman hiasan seperti xanseviera atau pokok lidah jin.

“Kemudiannya saya beralih kepada menanam sayur-sayuran yang sesuai di tanam dalam persekitaran rumah dan di dalam pasu.

“Antaranya adalah bayam Brazil, bendi, cili padi, limau nipis, cili dan beberapa jenis lagi,” katanya  yang menjelaskan langkah itu membolehkannya menjimatkan antara RM50 ke RM100 sebulan.

Beliau juga gembira kerana sayuran yang ditanam sendiri di rumah itu bebas dari racun dan baik untuk kesihatan, kata Zakaria, 60.

Zakaria Hassan berkata beliau mula bercucuk tanam di kawasan rumah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini meneruskannya untuk mengurangkan perbelanjaan harian.– Gambar The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2022.

Seorang lagi penggiat, Shalini Yeap May Hwa, 34, berkata idea untuk bercucuk tanam di balkoni rumahnya itu dicetuskan oleh tunangnya, T Anthon Jermayne pada tahun 2019.

“Kami sebenarnya mahu lebih kawalan ke atas kualiti makanan yang kami makan. Pada masa itu, kami juga baru memulakan latihan kecergasan kami dan hanya memakan makanan yang dimasak di rumah.

“Jadi taman balkoni seiring dengan gaya hidup dan kegemaran kami untuk memasak. Antara tanaman kami adalah bendi, kailan, bayam merah, kacang panjang, cili, sawi dan Indian borage.”

Menurut Shalini, aktiviti cucuk tanam bukan sahaja melatih mereka itu bersabar dan tabah tetapi lebih menghargai keajaiban alam semula jadi.

“Ia tidak semudah menjatuhkan beberapa biji benih dalam tanah dan membiarkannya tumbuh sendiri. Ia memerlukan penjagaan harian.

“Kami juga memahami mengapa sayur-sayuran organik mahal di pasaran,” katanya.

Jelas Shalini, tanaman organik berdepan serangan serangga kerana mereka memilih untuk tidak menggunakan sebarang racun perosak yang berbahaya.

“Kami menggunakan minyak semambu buatan sendiri tetapi memerlukan masa dan konsisten untuk melihat keajaibannya.

“Dari segi penjimatan, kami tidak membuat anggaran sebenar tetapi untuk jangka masa panjang, semestinya ia lebih murah daripada sayuran organik yang dijual di pasaran,” katanya.

Antara tanaman di balkoni rumah Shalini. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2022.

Sementara itu, Mahani Ishak, 45, yang bercucuk tanam di rumah flatnya juga gembira kerana dapat mengurangkan kos perbelanjaan dapur.

“Daripada pengalaman saya, menanam pokok seperti serai, pandan, limau purut serta pudina, menjimatkan perbelanjaan dapur saya sehingga sebanyak RM200 sebulan.

“Lebihan tanaman ini boleh menjadi sumber pendapatan untuk keluarga saya. Kegiatan ini juga menjadi salah satu kegiatan keluarga serta memperkukuhkan hubungan silaturrahim antara jiran.

“Lebihan hasil tanaman ini (juga) saya akan agihkan kepada jiran,” katanya.

Seorang ibu, Gengammal Valayutham, 64, juga bercucuk tanam sebagai hobi yang membawa keceriaan dalam kehidupan keluarganya serta menambah seri ruang kediamannya.

“Sudah beberapa tahun saya bereksperimen dengan bercucuk tanam. Saya rasa ia satu kemahiran hidup yang penting – belajar macam mana makanan dihasilkan dan belajar menanamnya sendiri.”

Ibu kepada dua anak itu berkata beliau banyak menanam herba seperti moringa, rosemary, basil, Indian borage serta pudina yang dimasaknya sendiri dan juga untuk membangunkan resipi.

Gengammal Valayutham, 64, juga bercucuk tanam sebagai hobi yang membawa keceriaan dalam kehidupan keluarganya serta menambah seri ruang kediamannya. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2022.

Kegiatan berkenaan mendapat sokongan badan seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menggalakkan penggunaan baja untuk sayur-sayuran yang selamat dimakan

Pegawai Pendidikan CAP NV Subbarow berkata ia tujuan badan itu menganjurkan latihan berkala terutama bagi suri rumah belajar menanam sayur-sayuran sendiri di rumah.

“Sejak 2015 hingga sekarang, kami sudah melatih lebih 2,000 petani, 500 guru, 800 suri rumah dan 500 individu,” katanya.

Katanya, CAP juga sedang dalam proses mengeluarkan baja vermi dan penggalak tumbuhan dan tanah dengan harga berpatutan bagi mereka yang ingin mula berkebun.

“Kami selalu menasihati pengguna di negara ini menanam sendiri sayur-sayuran di kediaman susulan kenaikan mendadak harganya di pasaran sejak kebelakangan ini.

“Menanam sayur-sayuran sendiri akan banyak memanfaatkan pengguna terutamanya apabila sayur-sayuran naik harga di pasaran,” katanya.

Tambahnya, modul CAP turut meliputi kaedah tanaman yang berkesan di ruang terhad bagi memastikan tanaman mereka mendapat cahaya matahari mencukupi.

Menurut Subbarow, pengguna tidak memerlukan ruangan yang besar malah boleh memanfaatkan bekas susu, botol minuman serta bekas kecil untuk menanam sayuran berdaun.

“Tumbuhan berbuah seperti bendi, terung, cili dan sayur berdaun seperti sawi, kangkung, kailan, bayam dan tanaman saka pudina, pegaga, kesum dan selom boleh ditanam dengan mudah walaupun hanya di balkoni.

“Bagi tumbuhan yang mempunyai akar yang besar seperti bendi dan terung, gunakan tin biskut, botol minyak dan bekas air lima liter sebagai media tanaman,” katanya. – 14 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen