38 terbunuh dalam serangan bom di Mogadishu


Seorang mangsa yang cedera dalam serangan letupan bom di Mogadishu semalam yang menyebabkan 38 orang terbunuh. – Gambar EPA, 24 Februari, 2018.

DUA kereta dibom di Mogadishu, Somalia semalam, menyebabkan 38 orang terbunuh, kata perkhidmatan ambulans di bandar itu.

“Kami saksikan 38 orang mati,” kata Abdukadir Abdurahman Aden yang berkhidmat dengan Ambulance Aamin mengenai pengeboman yang mensasarkan istan apresiden dan sebuah hotel.

Menurut polis, letupan pertama yang diikuti dengan rembakan, berlaku di pusat pemeriksaan berdekatan Villa Somalia, kemudian menyusul letupan kedua di sebuah hotel.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan secara online, kumpulan  militan Shabaab mendakwa melakukan serangan itu ia mensasarkan kerajaan dan perkhidmatan keselamatan.

Kejadian letupan itu berlaku selepas beberapa minggu Mogadishu berada dalam keadaan tenang.

Menurut pihak berkuasa, serangan utama melibatkan penggunaan sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan yang menghampiri istana presiden, tetapi berjaya dihalang oleh pasukan keselamatan.

“Pasukan keselamatan berjaya mengagalkan niat pengganas. Mereka mahu menyerang sasaran utama tetapi tidak dapat pergi lebih dekat. Mereka berlima berjaya dibunuh oleh pasukan keselamatan,” kata pegawai keselamatan, Abdulahi Ahmed.

Kumpulan Shabaab sedang berjuang untuk menggulingkan kerajaan Somalia yang mendapat sokongan antarabangsa. Oktober lalu, kumpulan itu melancarkan serangan bom yang paling dahsyat sehingga lebih 500 orang terbunuh. – AFP, 24 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen