Henti naik kadar faedah untuk kekal pertumbuhan kukuh, kata Guan Eng


Pengerusi DAP gesa kerajaan jawab adakah pertumbuhan mantap suku kedua negara tahun ini disebabkan ramai orang berbelanja berikutan pengeluaran RM10,000 simpanan KWSP pada April lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2022.

BAGI mengekalkan pertumbuhan ekonomi, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menghentikan kenaikan kadar faedah kerana ia membebankan perniagaan dan peminjam perumahan, kata Lim Guan Eng.

Bekas menteri kewangan itu turut menggesa kerajaan menyatakan sama ada pertumbuhan kukuh 8.9 peratus suku kedua tahun ini antara lain disebabkan oleh pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada April.

“Jika ya, maka pertumbuhan bagi suku ke-3 dan ke-4 mungkin tidak begitu kukuh kerana kesan daripada perbelanjaan pengeluaran khas RM10,000 KWSP yang secara keseluruhannya berjumlah RM44 bilion akan hilang dengan ketara,” kata pengerusi DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya sejak 2020, kerajaan telah mengumumkan tiga skim pengeluaran khas KWSP iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, dengan jumlah pengeluaran RM101 bilion. Pengeluaran khas KWSP RM10,000 pada April 2022 berjumlah RM44 bilion.

Ditambah dengan pengeluaran RM10 bilion daripada program pengurangan kadar caruman berkanun saham pekerja, sejumlah RM155 bilion telah dikeluarkan daripada KWSP sepanjang 27 bulan lalu.

“Sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, penggunaan dan pelaburan sektor swasta hanya meningkat sebanyak 5.5% dan 0.4% pada suku pertama 2022.

“Jika RM44 bilion daripada pengeluaran khas RM10,000 KWSP itu tidak menjana lonjakan 18.3% dalam penggunaan sektor swasta bagi suku kedua, Bank Negara perlu menentukan punca kenaikan itu,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.

Jika ya, Lim berkata BNM perlu menghentikan kenaikan kadar faedah jika ia mahu mengekalkan pertumbuhan yang teguh.

“Walaupun KDNK Malaysia berkembang pada separuh pertama 2022 sebanyak 6.9%, ini tidak dicerminkan dalam prestasi Bursa Malaysia dan dalam nilai ringgit.

“Ringgit terus merosot berbanding dolar Singapura, jatuh ke nilai terendah pada rekod RM3.25 pada 11 Ogos, jatuh ke paras terendah 5 tahun kepada dolar AS pada RM4.46, malah telah melemah berbanding rupiah Indonesia.

“Walaupun harga bahan api dan minyak sawit tinggi, ringgit terus menyusut apabila ia sepatutnya mengukuh. Peningkatan kadar faedah Bank Negara sebanyak 50 mata asas tidak mempunyai kesan yang ketara. Ringgit yang lemah telah mendatangkan malapetaka kepada ahli perniagaan dengan kenaikan harga bahan import,” kata Lim.

Beliau berkata terdapat kebimbangan sama ada pertumbuhan ekonomi suku kedua Malaysia terlalu bergantung kepada permintaan domestik yang kukuh, terutamanya pengeluaran khas KWSP berjumlah RM44 bilion itu.

“Memandangkan tiada lagi RM44 bilion pengeluaran khas KWSP dalam perancangan, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan bergantung kepada permintaan luar, yang tertakluk kepada pertumbuhan global yang lebih perlahan,” kata Lim. – 13 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen