Salman Rushdie mungkin buta sebelah mata akibat cedera ditikam


Salman Rushdie dibawa ke hospital menaiki helikopter selepas cedera akibat diserang ketika menghadiri acara sastera di Chautauqua, New York State, AS. – Gambar EPA, 13 Ogos, 2022.

PENULIS kontroversi Salman Rushdie kini menggunakan mesin bantuan pernafasan dan mungkin kehilangan sebelah matanya selepas ditikam beberapa kali pada acara sastera di New York pada Jumaat.

Susulan serangan yang berlaku sejurus sebelum 11 pagi waktu tempatan, Rushdie dihantar ke hospital dan memerlukan pembedahan kecemasan. Ejennya berkata dalam satu kenyataan yang diperoleh The New York Times memaklumkan perkembangan penulis itu tidak begitu memberangsangkan.

“Salman berkemungkinan hilang sebelah mata; saraf di lengannya putus; dan hatinya terkena tikaman dan rosak,” kata ejen Andrew Wylie, yang menambah setakat ini Rushdie tidak boleh bercakap.

Polis negeri New York mengenal pasti suspek yang terlibat dalam serangan pagi Jumaat sebagai Hadi Matar, 24, dari Fairfield, New Jersey. Kemungkinan motif masih tidak jelas.

Polis berkata Rushdie ditikam di leher dan perut. Beberapa individu bergegas ke pentas dan menghentikannya sebelum seorang anggota tentera yang hadir pada acara itu menahannya.

Seorang doktor yang turut hadir memberikan rawatan perubatan sehingga bantuan pertama kecemasan tiba. Seorang pengacara majlis di atas pentas, Ralph Henry Reese, 73, mengalami kecederaan muka tetapi sudah dibenarkan keluar dari hospital, kata polis.

Serangan itu berlaku di Institusi Chautauqua, yang menganjurkan program seni dalam komuniti di tepi tasik, 110km di selatan bandar Buffalo.

Carl LeVan, seorang profesor politik Universiti Amerika yang menghadiri acara itu, memberitahu AFP beliau melihat suspek berlari ke atas pentas di mana Rushdie duduk dan “menikamnya berulang kali dan dengan kejam.”

LeVan, seorang pegawai tetap Chautauqua, berkata suspek “cuba menikam sebanyak mungkin sebelum berjaya ditundukkan,” sambil menambah beliau percaya lelaki itu “cuba membunuh” Rushdie.

Seorang lagi saksi, John Stein, memberitahu ABC  penyerang “mula menikam di sebelah kanan kepala, leher. Dan ada darah… membuak.”

Buku Rushdie pada 1988 “The Satanic Verses” mencetus kontroversi termasuk fatwa bunuh terhadapnya oleh pemimpin revolusi Iran Ayatollah Ruhollah Khomeini.

Novel itu dianggap segelintir umat Islam sebagai tidak menghormati Nabi Muhammad.

Beliau menghabiskan hampir sedekad bersembunyi, beberapa kali berpindah dan tidak dapat memberitahu anak-anaknya di mana beliau tinggal.

Rushdie hanya mula muncul semula pada akhir 1990-an selepas Iran pada 1998 berkata ia tidak akan menyokong pembunuhannya.

Kini menetap di New York, beliau adalah penyokong kebebasan bersuara dan melancarkan pembelaan lantang terhadap majalah satira Perancis Charlie Hebdo selepas kakitangannya ditembak mati oleh pengganas di Paris pada 2015. – AFP, 13 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen