Jangan lewatkan kelulusan pekerja asing, kata FMM


Malaysia berdepan masalah kekurangan tenaga kerja sejak pembukaan semula sektor ekonomi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2022.

PERSEKUTUAN Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) mengulangi gesaan agar prosedur permohonan semasa untuk kelulusan pekerja asing dikekalkan bagi menjamin kelicinan keputusan.

Presidennya Soh Thian Lai berkata prosedur permohonan pekerja asing semasa tidak boleh dihentikan kerana ia akan mengganggu pemulihan ekonomi semasa.

“Prosedur ini merangkumi pengagihan proses temuduga melalui Pusat Sehenti di pejabat buruh negeri bagi membolehkan proses permohonan pekerja asing oleh industri berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan FMM itu adalah reaksi kepada pemberhentian sementara proses permohonan pekerja asing oleh Kementerian Sumber Manusia (MOHR) bermula 15 Ogos hingga 31 Ogos 2022 untuk menyemak semula prosedur permohonan.

Soh berkata pengagihan proses temuduga melalui Pusat Sehenti ke pejabat buruh negeri yang baru diperkenalkan pada 1 Ogos 2022 adalah sangat memudahkan untuk menangani kesibukan dalam proses temuduga serta memudahkan perjalanan dan kesesakan di Pusat Sehenti MOHR di Putrajaya.

“Penggantungan yang agak kerap dalam pemprosesan permohonan pekerja asing (penggantungan terakhir adalah dari 1 Jun hingga 15 Jun 2022) sangat mengganggu perancangan industri bagi mendapatkan pekerja mereka semasa tempoh yang sangat kritikal seperti sekarang.

“Industri terus menghadapi pelbagai cabaran dalam operasi termasuk kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan keupayaan mereka untuk beroperasi pada kapasiti maksimum ke arah pemulihan perniagaan,” katanya. – Bernama, 12 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen