PENTADBIRAN Ismail Sabri Yaakob perlu menghidupkan semula jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ambrin Buang sebagai bukti komitmen Putrajaya meneruskan siasatan ke atas tadbir urus, perolehan dan kewangan pentadbiran sebelum ini, kata Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong.
Bekas menteri pertahanan pentadbiran Pakatan Harapan dan timbalannya berpendapat peranan dan penglibatan Ambrin penting untuk menjamin kesinambungan kerja siasatan.
“Penubuhan semula Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan bukan sahaja untuk meneruskan siasatan terhadap skandal kapal tempur pesisir (LCS) tetapi juga untuk membasmi masalah ketirisan dan penyelewengan wang dalam kerajaan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama. https://bit.ly/3SKbd7g
Jawatankuasa khas itu ditubuhkan oleh pentadbiran Dr Mahathir Mohamad tidak sampai sebulan PH mengambil alih Putrajaya selepas menumbangkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
Jawatankuasa itu dianggotai pakar dalam pelbagai bidang yang berpengalaman dalam tadbir urus kerajaan.
Ia sempat melengkapkan 39 siasatan melibatkan sembilan kementerian antaranya Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan, dan Kementerian Pendidikan, kata mereka.
Antara yang disiasat ialah projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang diberikan kepada syarikat swasta dan disifatkan tidak wajar.
Jawatankuasa itu juga menyiasat isu pertukaran tanah milik Kementerian Pertahanan kepada pihak swasta yang dilakukan antara Mei hingga Disember 2018, melibatkan keseluruhan tanah seluar hampir 3,000 ekar bernilai RM4.8 bilion.
“Malangnya, (jawatankuasa ini) dibubarkan dan keseluruhan kontrak ahli jawatankuasa tidak disambung lagi selepas Julai 2021,” kata Mohamad dan Liew.
“Adakah kerajaan berniat untuk musnahkan mekanisme semak dan imbang terhadap perbelanjaan dan tadbir urus kerajaan?” tanya mereka.
Mohamad dan Liew membuat saranan ini selepas Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam memutuskan supaya laporan siasatan jawatankuasa itu terhadap projek perolehan kapal tentera laut didedahkan kepada umum.
Jemaah Menteri juga mencadangkan agar laporan forensik audit berhubungan perolehan yang tergendala itu juga didedahkan, tertakluk nasihat Peguam Negara dan Ketua Audit Negara.
Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membentang sembilan punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.
Laporan itu sebahagian besarnya disandarkan pada laporan siasatan jawatankuasa yang dipengerusikan Ambrin. – 11 Ogos, 2022.
Komen