Henti julang Najib, Pakatan terus kempen tolak rasuah, kata Mujahid


Alfian Z.M. Tahir

Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa berkata isu rasuah akan terus jadi fokus kempen Pakatan Harapan kerana kesannya akan jadi lebih besar andai pembangkang berdiam diri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Ogos, 2022.

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) akan terus beri tumpuan kepada isu rasuah kerana ia perkara teras untuk selamatkan negara, kata Mujahid Yusof Rawa.

Melalui wawancara dengan The Malaysian Insight, naib presiden Amanah berkata bukan kerana PH tidak minat bangkitkan isu lain, tetapi kesan rasuah jauh lebih parah buat negara dan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa pembangkang asyik bangkitkan isu rasuah sedangkan banyak lagi isu lain.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu mnjelaskan yang kesan rasuah akan jadi lebih besar andai pembangkang berdiam diri.

“Ia bukan sebab rasuah sahaja, (tetapi juga) implikasinya. PH akan terus bersuara. Bagi saya tak salah ulangi (isu rasuah) kerana kalau ia berterusan, ia akan meletakkan bangsa saya ke tahap yang menjijikkan dan memalukan bangsa sendiri.

“1MDB kita tanggung bayar berbilion. Kenapa? sebab rasuahlah. Orang tak nak melabur kepada negara kita sebab rasuah. Dalam kes LCS (kapal tempur pesisir), perairan terjejas. Inilah sebab rasuah.

“Mana saya nak letak muka, bangsa saya menjulang (bekas perdana menteri) Najib (Razak) sebagai ‘bosku’ dan wira. Orang Melayu kalau tak cakap tentang rasuah nak cakap tentang apa lagi?” kata bekas menteri hal ehwal agama itu.

Malaysia sebelum ini dilanda skandal 1MDB membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Dilaporkan Najib menyalurkan lebih RM2.67 bilion ke dalam akaun bank peribadinya daripada 1MDB, sebuah syarikat pembangunan strategik yang dikendalikan kerajaan.

Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa bimbang dengan sekumpulan Melayu yang menjulang Najib Razak walaupun bekas PM itu disabitkan kesalahan oleh mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2022.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mendapati lebih AS$4.5 bilion telah dialihkan daripada 1MDB untuk membeli barangan dan hartanah mewah, termasuk kapal layar super dan bagi membiayai pengeluaran filem Hollywood, The Wolf of Wall Street.

Dalang yang didakwa, Low Taek Jho masih bebas walau didakwa tanpa kehadirannya di AS dan Malaysia.

Skandal 1MDB digunakan secara meluas oleh pembangkang untuk menyerang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lepas. Isu itu antara yang menjadi punca BN kalah pada pilihan raya 2018, selepas lebih 50 tahun memerintah.

Mujahid, anak ulama terkenal Yusof Rawa, mengakui bimbang dengan sekumpulan Melayu yang menjulang Najib walaupun ahli Parlimen Pekan itu disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

“Ini yang membimbangkan saya, satu perbuatan khianat rasuah yang terang. Kalau di negara lain orang marah pemimpin sebegini. Di Malaysia orang Cina, India marah, tetapi Melayu julang. Saya tak kata semua.

“Ia menyedihkan tapi ia beri motivasi kuat pada saya dan rakan-rakan untuk mengeluarkan orang Melayu dari sindrom ini,” katanya.

Pada 28 Julai. 2020 Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International.

Rayuannya di Mahkamah Persekutuan akan diteruskan dari 15 hingga 26 Ogos ini. – 12 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen