Menteri minta rakyat Sabah kibar bendera Malaysia tanda syukur


Masidi Manjun berkata mengibar bendera Malaysia adalah simbol kebanggaan, maruah dan identiti negara, selain sebagai simbol perpaduan dan kesatuan sebagai rakyat negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2022.

RAKYAT di negeri ini wajar mensyukuri nikmat yang diperoleh daripada kemerdekaan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah itu berkata walaupun Sabah masih belum sempurna terutama dari segi pembangunan, banyak aspek lain yang telah dinikmati rakyat negeri ini apabila bersama Malaysia.

“Membangunkan Sabah adalah usaha berterusan bersama Malaysia. Bagi menzahirkan rasa syukur itu, sekali dalam setahun belilah bendera dan kibarkan di premis masing-masing untuk tunjuk semangat nasionalisme yang ada pada rakyat Sabah.

“Saya minta semua pemilik premis tolong korbankan beberapa ringgit untuk beli bendera, jangan harap ihsan atau pemberian kerajaan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Perkhidmatan Pemungutan Sampah di perairan Pekan Semporna di Semporna hari ini.

Masidi berkata mengibar bendera Malaysia adalah simbol kebanggaan, maruah dan identiti negara, selain sebagai simbol perpaduan dan kesatuan sebagai rakyat negara ini.

Sementara itu, menurutnya pelbagai program menarik dirancang bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan di negeri ini termasuk acara utama majlis perhimpunan dan perarakan Hari Kebangsaan di Padang Merdeka di Kota Kinabalu, serta forum agama yang akan diadakan di surau dan masjid di negeri ini.

“Rakyat di Sabah perlu bersatu hati mempertahankan dan bersama meraikan pengisian nikmat kemerdekaan,” katanya. – Bernama, 11 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen