Warna-warni kerjasama politik menjelang PRU15


RAMAI penganalisis politik yang meramalkan tiada gabungan politik di Malaysia boleh menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara bersendirian.

Walaupun keputusan beberapa pilihan raya negeri (PRN) seperti di Melaka dan Johor menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang bergaya menewaskan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), penganalisis berkata ia bukanlah gambaran sebenar ketika PRU15.

Maka tidak mengejutkan apabila Utusan Malaysia mendedahkan baru-baru ini terdapat pertemuan antara Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersama dengan bekas presiden Umno Najib Razak.

Bekas pemimpin PAS, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memberitahu Utusan Malaysia pertemuan antara Najib dan Hadi bagi membincangkan kerjasama politik antara kedua-dua parti itu dan merupakan langkah terbaik untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN).

“Terakhir saya dimaklumkan oleh beliau Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Hadi melawat Najib untuk berbincang (kerjasama), itu satu pendekatan baik.”

Perbincangan kerjasama seperti ini merupakan sesuatu yang “normal” dalam keadaan tiada parti yang benar-benar kuat walaupun PAS sudah bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dan MN sudah seperti tiada masa depan.

Akan tetapi begitulah, tiada yang mustahil dalam politik.

Hadi sebagai seorang pemimpin PAS dan Najib pula sebagai pemimpin “de facto” Umno sudah pasti mahukan sesuatu yang terbaik buat parti masing-masing.

Bagaimana pula dengan PH? Apakah PH terlalu yakin akan menang PRU15 tanpa sokongan pengundi Melayu?

Apakah PH terlupa kemenangan PRU14 lalu disebabkan peralihan undi Melayu daripada Umno yang dibawa Bersatu?

Tanpa sokongan yang signifikan daripada pengundi Melayu, PH tidak mungkin akan kembali ke Putrajaya.

Maka bukanlah sesuatu yang pelik sekiranya pemimpin PH duduk semeja dan berbincang dengan pemimpin PN bagi mengadakan persefahaman pada PRU15.

Tiada apa yang perlu ditakutkan memandangkan PRU15 akan diadakan hanya selepas Akta Anti Lompat Parti menjadi undang-undang.

Episod “Langkah Sheraton” tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.

Dan persefahaman politik pula tidak semestinya duduk dalam satu gabungan.

PH dan PN boleh bersetuju untuk tidak bertembung bagi memastikan satu lawan satu menentang BN.

Pembentukan kerajaan sekiranya formula ini berjaya boleh terus menerus dibincangkan.

Kerjasama sudah pastilah bertujuan untuk menguntungkan kedua-dua pihak.

Seperti yang dilakukan Hadi dan Najib. Masing-masing terus menerokai peluang kerjasama bagi memastikan keuntungan PAS dan Umno.

Dan itulah tugas pemimpin politik. Bukan awal-awal lagi menutup pintu kerjasama.

Tujuan masuk ke gelanggang PRU15 adalah untuk menang.

Bukan untuk tunggu PRU16 baru hendak menang. – 11 Ogos, 2022.

* Kamarul Khairy adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen