3 letupan bom di Rakhine


Anggota tentera sedang memeriksa kawasan letupan di Sittwe, Rakhine. Tiada kematian dilaporkan. – Gambar EPA, 24 Februari, 2018.

TIGA letupan bo meletup di lokasi berbeza termasuk rumah pegawai tinggi di sekitar ibu negeri Rakhine, Sittwe awal pagi tadi, kata polis Myanmar. Tiada kematian dilaporkan.

“Tiga biji bom meletup manakala tiga lagi tidak meletup dijumpai. Seorang pegawai polis cedera, namun tidak serius,” seorang pegawai kanan yang tidak mahu dikenali memberitahu.

Pegawai itu berkata letupan berlaku kira-kira jam 4 pagi ( 5.30 pagi waktu Malaysia).

Sebiji bom meletup di seberang rumah setiausaha kerajaan negeri, manakala dua lagi meletup di hadapan sebuah pejabat di bandar dan di atas jalan menuju ke pantai.

Seorang pegawai tempatan dari kerajaan negeri juga telah mengesahkan kejadian itu.

Bagaimanapun, tahap kemusnahan masih belum dipastikan.

Walaupun pengeboman di ibu negeri itu jarang berlaku, Rakhine dilanda rusuhan perkauman serta pemberontakan lain.

Ogos lalu, tindakan keras tentera terhadap pemberontak Rohingya telah menyebabkan penghijrahan besar-besaran minoriti Islam itu di seluruh sempadan ke Bangladesh.

Pada Januari, tujuh orang terbunuh, manakala puluhan lagi cedera apabila polis melepaskan tembakan terhadap sekumpulan etnik Buddha Rakhine yang cuba merampas sebuah pejabat kerajaan di bandar Mrauk U.

Keganasan itu telah mendorong kumpulan pemberontak etnik Rakhine berjanji untuk menuntut bela   ke atas kematian penunjuk perasaan itu. – AFP, 24 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen