Ukraine eksport 370,000 tan metrik bijirin bawah perjanjian Turkiye-PBB


Kapal Polarnet berbendera Turkiye yang berlepas dari pelabuhan Chornomorsk, Ukraine tiba di Safiport Derince, Kocaeli di Turkiye pada 8 Ogos lalu. – Gambar EPA, 11 Ogos, 2022.

UKRAINE mengeksport hampir 400,000 tan metrik bijirin pada minggu pertama pelaksanaan perjanjian di bawah Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menangani masalah kekurangan bekalan makanan global.

Dua belas kapal yang membawa lebih 370,000 tan metrik bijirin dan bahan makanan lain diberi kebenaran berlepas dari pelabuhan Ukraine, lapor Agensi Anadolu memetik koordinator sementara PBB di Pusat Koordinasi Bersama (JCC) kepada pemberita di New York, Rabu .

“Kami melihat kesungguhan daripada segi kesediaan pemilik kapal untuk melakukan transit ini,” kata Frederick Kenney. 

“Kami menjangkakan untuk melihat peningkatan besar dalam pelaksanaan.”

Beberapa kapal bijirin yang kosong sedang berlabuh di perairan Turki menunggu untuk kontrak untuk mengangkut. Sebaik sahaja perjanjian mereka diatur, mereka akan menuju ke utara, tambahnya.

Kapal-kapal yang berlepas dari pelabuhan Ukraine mengangkut jagung dan bahan makanan lain dan penghantaran gandum Ukraine yang pertama dijangka minggu depan.

Turkiye, PBB, Rusia dan Ukraine menandatangani perjanjian penting pada 22 Julai bagi membuka semula tiga pelabuhan Ukraine – Odesa, Chornomorsk dan Yuzhny – untuk penghantaran bijirin yang telah tertangguh selama berbulan-bulan kerana perang Rusia-Ukraine, yang kini sudah memasuki bulan ke enam.  – Bernama, 11 Ogos, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen