Korea Utara isytihar bebas Covid-19


Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un ketika mempengerusikan mesyuarat bersama petugas kesihatan dan saintis semalam umum Pyongyang menang dalam perang melawan pandemik.– Gambar EPA, 11 Ogos, 2022.

KOREA Utara semalam isytihar republik itu bebas daripada wabak Covid-19 selepas dua minggu tiada kes direkodkan.

Pemimpinnya Kim Jong-un ketika mempengerusikan mesyuarat bersama petugas kesihatan dan saintis umum Pyongyang menang dalam perang melawan pandemik, kata agensi berita kebangsaan KCNA.

Kim dipetik KCNA sebagai berkata, “Kemenangan yang diperoleh rakyat kita merupakan peristiwa bersejarah, yang sekali menunjukkan kepada dunia betapa hebatnya negara kita, kecekalan rakyat kita.”

Korea Utara umum penularan membabitkan varian Omicron Mei lalu, dan mengaktifkan sistem pencegahan kecemasan pada tahap maksimum.

Republik itu merujuk pesakit Covid-19 sebagai “pesakit demam” dalam laporan kes. Tiada kes baharu dilaporkan sejak 29 Julai lalu.

Menurut KCNA, Korea Utara merekodkan hampir 4.8 juta jangkitan coronavirus sejak hujung April lalu, dengan hanya 74 kematian atau kadar kematian 0.002%.

Sistem kesihatan republik itu antara yang paling buruk di dunia, dengan hospital kurang kelengkapan dan unit rawatan rapi, serta tiada ubat atau vaksin Covid-19, kata pakar. – AFP, 11 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen