Penjawat awam jangan cetus provokasi jika ditegur, kata ketua pengarah


Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Shafiq Abdullah mengingatkan penjawat awam yang provokasi melampau untuk raih perhatian umum bertentangan dengan peraturan, undang-undang yang berkuat kuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2022.

PENJAWAT awam yang ditegur tidak seharusnya bertindak balas dengan mencetuskan provokasi kepada pihak yang menegurnya, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Mohd Shafiq Abdullah.

Shafiq memberi peringatan itu ketika sebuah jawatankuasa khas sedang menyiasat dakwaan insiden melibatkan beliau dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Menurut Shafiq, setiap penjawat awam harus bersikap positif sekiranya menerima teguran, pandangan, mahupun cadangan daripada mana-mana pihak berkepentingan, termasuklah pegawai atasan dan pelanggan.

Semua itu bagi memperbaiki dan mempertingkatkan penyampaian dan perkhidmatan awam, katanya.

“Seorang pegawai awam juga hendaklah menunjukkan sikap yang responsif terhadap maklum balas dan aduan daripada pelanggan perkhidmatan awam.

“Oleh itu seorang pegawai awam yang ditegur sama ada oleh orang awam atau penyelia atau rakan sejawat atau pegawai atasan yang berpunca dari penyampaian perkhidmatan yang kurang memuaskan tidak sepatutnya bertindak balas dengan melakukan provokasi kepada pihak yang membuat teguran.

“Provokasi yang melampau bagi meraih perhatian umum atau dijadikan bahan viral boleh disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan budaya kerja pegawai awam serta bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya, dalam satu surat peringatan, bertarikh 8 Ogos.

Surat edaran bertajuk “Peringatan Berkaitan Arahan Larangan Membuat Pernyataan Awam Oleh Pegawai Awam” turut dimuat naik ke laman web Jabatan Perkhidmatan Awam dan dihebahkan di media sosial.

Dalam surat peringatan itu, Shafiq berkata, sebagai ketua bagi perkhidmatan awam, beliau bertanggungjawab bukan sahaja kepada Jabatan Perkhidmatan Awam malah keseluruhan perkhidmatan awam.

“Ketua pengarah perkhidmatan awam sudah semestinya bertanggungjawab untuk memberikan pandangan atau teguran bagi meningkatkan kualiti dan pematuhan peraturan dalam sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam di negara ini,” kata Shafiq.

Surat peringatan mengandungi tujuh muka surat itu turut diedarkan kepada semua kementerian.

Shafiq sebelum ini menjadi perhatian susulan laporan dakwaan menengking seorang pegawai imigresen di KLIA, dikatakan berhubung isu pemeriksaan pasport.

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) sehubungan itu menuntut Shafiq membuat permohonan maaf secara terbuka susulan dakwaan tersebut.

JPA kemudiannya pula menafikan Shafiq mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai terbabit, dalam insiden itu.

JPA antara lain menjelaskan Shafiq hanya membuat teguran Ketua Penolong Penguasa Imigresen James Lee berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur.

Susulan itu, satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan bagi menyiasat insiden tersebut.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali pada 8 Ogos mengumumkan Peguam Negara Idrus Harun akan mengetuai jawatankuasa tersebut.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Shafiq dilantik sebagai KPPA pada 10 Februari lalu menggantikan Mohd Khairul Adib Abd. Rahman yang bersara wajib pada 16 Januari.

Shafiq sebelum itu merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia. – 10 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen