Skandal LCS: Apakah akan ada desakan tubuh RCI?


LIMA tahun yang lalu pada Mei 2017, iaitu kira-kira setahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, negara jiran terdekat Singapura sudah pun mengambil beberapa tindakan yang bersifat regulatori dan pendakwaan jenayah terhadap entiti-entiti yang terlibat dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah Singapura telah menyenaraikan tindakan-tindakannya setakat pada 30 Mei 2017 dalam satu kenyataan akhbar oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS – bank pusat Singapura) pada tarikh yang sama. 

Sedangkan di Malaysia, seperti yang disuarakan oleh pembaca The Malaysian Insight, FLK, kenapa sehingga kini hanya mantan perdana menteri Najib Razak yang berdepan pendakwaan dalam transaksi berkaitan 1MDB? 

Ketika tiada seorang pun berdepan dengan pendakwaan, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pernah menulis: “Macam mana boleh siasatan dalam negara terhadap kes yang berlaku di dalam negara lebih lambat daripada siasatan di luar negara? Tidak malukah kita?”

Tulis Tuan Ibrahim lagi: “PAS mendesak agar sebuah Suruhanjaya Diraja (RCI) yang bebas dan adil yang turut disertai pihak pembangkang diwujudkan bagi menyiasat dan membentang ‘kertas putih’, berhubung isu 1MDB.

 “Isu ini perlu diselesai di dalam negara secepat mungkin supaya tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan ke atas isu ini. Diharap semua pihak dapat melobi agar RCI diadakan secepat mungkin untuk 1MDB.”

Apakah akan didesak juga agar RCI diwujudkan bagi menyiasat dan membentangkan kertas putih berhubung isu kapal tempur (LCS)?

* Hafiz Hassan, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen