BN masih sukar rampas semula Selangor, kata penganalisis


Chan Kok Leong

Penyertaan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ke dalam politik Umno Selangor masih tidak cukup untuk membolehkan BN merampas semula negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2022.

BARISAN Nasional (BN) berdepan kesukaran untuk merampas semula Selangor pada pilihan raya akan datang walaupun kemenangan berturut-turut yang mengagumkan dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor, kata penganalisis.

Di sebalik pengumuman Menteri Kewangan Senator Tengku Zafrul Aziz ke dalam politik Umno Selangor, peluang mereka untuk merampas semula negeri itu adalah tipis, kata mereka.

BN kehilangan Selangor pada 2008 dan dengan setiap pilihan raya yang diadakan sejak itu, bahagian kerusinya terus merosot dengan menang 20 daripada 56 kerusi DUN pada 2008 kepada 12 pada 2013 sebelum berakhir dengan hanya empat pada 2018.

Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) meningkat daripada 36 kerusi DUN (2008) kepada 44 (pada 2013) sebelum memenangi 51 pada 2018.

PH masih mempunyai 40 wakil rakyat di Selangor walaupun Langkah Sheraton diketuai Bersatu dan puak bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengurangkan bilangan PH.

Setakat ini, PH (40) dianggotai 19 PKR, 15 DAP dan enam Amanah, manakala pembangkang (16) diketuai BN (lima), Perikatan Nasional (lima), Pejuang (tiga), Parti Bangsa Malaysia (dua) dan Warisan (satu).

Negeri paling urbanisasi

Satu daripada penghalang utama BN untuk menawan semula Selangor adalah sifat urbanisasi negeri itu, kata Dr Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Selangor mempunyai lebih banyak kerusi bandar dengan kehadiran kuat bukan Melayu.

“Dan daripada 56 kerusi itu, amat sukar untuk melihat PKR dan DAP kehilangan lebih 20 kerusi,” katanya.

Paling utama, Lau berkata pegangan BN terhadap pengundi Melayu tidak sekuat seperti negeri lain.

Manakala 37 daripada 56 kerusi di Selangor adalah kerusi majoriti Melayu, BN hanya mempunyai lima walaupun memenangi pilihan raya kecil Semenyih pada 2019. 

Dan daripada 19 kerusi majoriti Melayu melebihi 70%, Umno hanya mempunyai empat. Kerusi yang kini disandang BN ialah Sungai Air Tawar, Sungai Burong, Sungai Panjang, Hulu Bernam dan Semenyih.

Lau juga berkata hakikat BN tidak memenangi mana-mana daripada 19 kerusi majoriti bukan Melayu, menandakan kelemahan besar dalam kalangan parti komponen bukan Melayunya - MCA dan MIC.

“Jadi, walaupun terdapat banyak keterujaan dengan Tengku Zafrul datang ke negeri ini, amat sukar untuk melihat bagaimana BN boleh menawan 29 kerusi di Selangor. Jangan lupa BN perlu menang 24 kerusi lagi daripada lima kerusi sekarang,” kata pensyarah sains politik itu.

‘Poster boy’ di Selangor

Sebab lain mengapa BN juga sukar untuk merampas semula Selangor dalam dua pilihan raya lalu, kata Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, kerana ia tidak mempunyai calon menteri besar yang berwibawa.

“Walaupun menarik untuk melihat mereka mahu meletakkan Tengku Zafrul di kerusi Parlimen Kuala Selangor, ia tidak akan membolehkan mereka memenangi negeri ini,” kata pensyarah sains politik Universiti Malaya itu.

Paling banyak, ia hanya boleh menang semula dua hingga tiga kerusi Parlimen di kawasan luar bandar, kata Awang Azman.

“Mereka harus meletakkan Tengku Zafrul di kerusi DUN juga jika benar-benar mahu beliau menjadi ‘poster boy’ di Selangor,” kata Awang Azman.

Katanya, ini akan memberi semangat lebih kuat kepada BN sekiranya mereka dapat mencari calon MB yang popular dan berintegriti. – 10 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen