Skandal kapal tempur pesisir khianati perajurit dan rakyat


SAYA mengalu-alukan penerbitan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Dewan Rakyat mengenai polemik kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion. Projek ini merupakan salah satu perolehan pertahanan terbesar untuk peralatan baharu dalam sejarah Malaysia.

Reaksi marah banyak pihak dengan penemuan laporan PAC adalah berasas, termasuklah kerajaan yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM6.083 bilion untuk kontrak yang dirundingkan secara langsung, walaupun pada hakikatnya tidak satu pun daripada lima LCS siap untuk dihantar dan digunakan syarikat yang dipilih untuk melaksanakannya, BNS.

Laporan PAC mencerminkan – dan membuktikan – isu berkaitan projek LCS yang sebelum ini dibangkitkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Dewan Rakyat yang saya pengerusikan dari Disember 2019 hingga Disember 2020 mempunyai asas kukuh.

Saya memulakan siasatan mengenai projek itu memandangkan ia mengambil masa yang terlalu lama untuk disempurnakan.

Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Awam (JKSTUPKK) menekankan kepada kami pelbagai masalah dan penyelewengan yang melanda projek itu, yang kini disahkan PAC.

Laporan semasa menggariskan beberapa anomali lain yang pernah saya bangkitkan sebelum ini, terutamanya pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sebagai pengguna akhir LCS. Mereka tidak diendahkan Kementerian Pertahanan dan BNS dalam projek itu.

TLDM bersetuju untuk menggunakan reka bentuk Sigma, tetapi ditolak menteri pertahanan ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi atas permintaan BNS tanpa merujuk kepada TLDM pada 2011. Sebaliknya, reka bentuk kelas Gowind diterima pakai walaupun Tentera Laut menyatakan kekecewaan mereka terhadap keputusan itu.

Mantan ketua audit negara Ambrin Buang yang mempengerusikan JKSTUPKK ketika itu, memberitahu jawatankuasa saya sesuatu yang tidak akan saya lupakan:

“Seolah-olah anda membeli permainan, kita boleh menunggu, relaks… Jadi, melainkan jika kuasa luar datang dan mendesak perkara itu, mereka akan mengambil seberapa banyak masa yang mereka mahu. Terdapat kekurangan bertindak segera…tiada siapa yang nampaknya mahu bertanggungjawab. Tiada siapa mahu uruskan.”

Malangnya saya tidak dapat mengeluarkan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas saya memandangkan pertukaran kerajaan ekoran Langkah Sheraton.

Sebagai perbandingan, Mesir memesan empat kapal kelas Gowind pada 2013 dan yang pertama daripada ini ditauliahkan pada 2017. Negara jiran kita Indonesia menempah empat kapal kelas Sigma pada 2010 – yang pertama ditauliahkan pada 2017 dan yang kedua 2018. Malaysia membuat tempahan pada 2011 dan masih belum menerima satu pun.

Laporan PAC juga mendapati usaha yang tidak mencukupi dilakukan kerajaan pada masa itu terhadap keadaan kewangan BNS dan terdapat kelemahan kritikal dalam pengurusan dalamannya.

Apa yang mengecewakan ialah kerajaan sekarang nampaknya menganggap skandal ini seolah-olah ia sesuatu yang tidak berkaitan langsung dengan mereka, sedangkan hakikatnya beberapa pemimpinnya berada dalam Kabinet semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika penyelewengan berlaku.

Sekurang-kurangnya, mereka harus berterus terang tentang apa yang berlaku dalam isu ini.

Memang benar beberapa individu ditangkap SPRM dan selepas ini sudah akan lebih ramai.

Malangnya, belum ada pihak yang didakwa atas skandal tersebut.

BN – dan kerajaan hibrid yang ada pada hari ini – bertanggungjawab atas kegagalan ini.

Saya akan bercakap lebih lanjut tentang masa depan LCS. Sebelum itu, saya ingin membuat kesimpulan buat masa ini dengan mengatakan pihak yang bertanggungjawab tidak seharusnya menyalahkan rakyat. Sebaliknya, mereka harus bertanggungjawab atas kegagalan yang didedahkan PAC.

Mereka yang terbukti melakukan kesalahan mesti dibawa ke muka pengadilan.

Situasi ini bukan sahaja memalukan negara, ia juga memperlihatkan kita akan menghadapi kesukaran untuk mempertahan negara akibat ahli politik menyeleweng wang rakyat.

Kerajaan berjanji untuk menyiasat isu LCS ini secara telus. Tetapi kita melihat pelbagai projek perolehan ketenteraan yang berakhir dengan penyelewengan dan kelewatan, sehinggakan menjadi kebiasaan. Biasanya, individu biasa yang menjadi korban sedangkan mereka yang bertanggungjawab daripada segi politik dan profesional dilepaskan begitu sahaja.

Kegagalan dan kecuaian ini adalah satu pengkhianatan kepada perajurit dan rakyat negara ini. – 9 Ogos, 2022.

* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah naib presiden PKR dan ahli Parlimen Setiawangsa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen