Kenaikan OPR tambah beban golongan B40, kata pakar ekonomi


Raevathi Supramaniam

Pakar ekonomi berkata kenaikan OPR akan menambah beban golongan berpendapatan rendah yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2022.

KEPUTUSAN Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke atas jumlah bayaran balik pinjaman pengguna sebanyak 50 mata asas akan menambahkan beban golongan berpendapatan rendah yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, kata pakar ekonomi.

Profesor Rajah Rasiah dari Universiti Malaya berkata kenaikan OPR akan menyebabkan golongan berpendapatan rendah tidak mampu untuk melunaskan bayaran pinjaman mereka.

“Perlu diberi perhatian bahawa kenaikan kadar faedah akan meningkat kos pinjaman kepada peminjam, serta golongan berpendapatan rendah akan lebih terkesan berbanding yang berpendapatan tinggi dan sederhana.

“Kadar faedah membawa kesan kesan menyeluruh ke atas ekonomi, tidak terkecuali yang berpendapatan rendah. Menaikkan lagi OPR hanya akan menambahkan beban mereka.

“Seperti yang kita lihat sekarang, majoriti penduduk di negara ini sedang bergelut dengan hutang isi rumah yang tinggi, yang sebahagian besarnya adalah pembelian rumah dan kenderaan serta pendidikan anak-anak,” Rasiah memberitahu The Malaysian Insight.

Di Amerika Syarikat (AS) katanya, semasa krisis kewangan pada 2007-2008 Rizab Persekutuan AS telah meningkatkan kadar faedah daripada 0.5% kepada 5.25% untuk mengekang inflasi, yang akhirnya menjerut rakyat negara itu.

“Saya harap kerajaan belajar dari pengalaman AS.”

Langkah BNM menaikkan OPR tidak banyak membantu untuk mengatasi inflasi yang dipengaruhi oleh gangguan rantaian bekalan domestik, konflik Rusia-Ukraine serta sekatan eksport, kata Rasiah.

“Kerajaan harus memberi lebih tumpuan kepada dasar fiskal bagi membantu golongan miskin dan pada masa sama membantu ladang kecil dan sederhana.

“Sektor perladangan perlu dilihat sebagai pelan jangka panjang kerana defisit imbangan dagangan makanan Malaysia meningkat sejak 1989 hingga 2022 kerana jumlah import lebih tinggi berbanding eksport.

“Maka langkah untuk menaikkan OPR bagi mengekang inflasi bukanlah strategi yang berdaya maju ketika ini.

“Lagipun bank-bank menikmati keuntungan durian runtuh sepanjang pandemik, malah para ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga pengarah terus menikmati kenaikan imbuhan,” jelasnya.

Kesan langsung akibat kenaikan OPR juga akan menyebabkan pemilik rumah menyalurkan peningkatan kos kepada penyewa, tambah Rasiah.

“Disebabkan permintaan-penawaran berbeza mengikut lokasi dan jenis rumah sama ada kos rendah, sederhana atau mewah, kadar sewa rumah kos rendah di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, George Town dan Petaling Jaya mungkin akan terus meningkat,” katanya. – 9 Ogos, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen