.jpg)
SAYA menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat skandal pembelian enam buah kapal littoral combat ship (LCS) atau kapal tempur pesisir yang sepatutnya dimiliki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.
Hanya melalui RCI yang telus dan berwibawa maka petualang di sebalik skandal ini akan dapat didedahkan dan dikenakan tindakan sewajarnya demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara tidak dikompromi.
RCI ini akan memastikan ketelusan dalam siasatan, dan tiada apa-apa disembunyikan oleh mereka yang bersekongkol dengan rasuah dan perasuah.
Saya juga menyokong tindakan SPRM menyiasat perkara ini. SPRM mesti diberikan kebebasan dan kuasa untuk menyiasat sepenuhnya.
Apa yang membimbangkan ialah ‘tangan-tangan ghaib’ di sebalik skandal ini sedang cuba mengelak dan enggan bertanggungjawab ke atas skandal ini. Sedangkan semua rakyat tahu mereka dan kuncu-kuncu mereka tidak malu langsung untuk merompak harta negara untuk dijadikan gula dan minyak yang memperkayakan diri.
Jika tiada siasatan telus yang dijalankan, skandal pembelian LCS ini akan menjadi salah satu skandal mega sebagaimana 1MDB yang telah mencemarkan nama negara di mata dunia dan mengaitkan Malaysia dengan skandal korupsi.
Lebih buruk lagi jika ada usaha secara aktif untuk menyembunyikan apa-apa salah laku. – 8 Ogos, 2022.
* Wan Saiful Wan Jan, ketua penerangan Bersatu.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen