Dedah kepada umum laporan Ambrin Buang, desak bekas menteri pertahanan dan timbalan


Mohamad Sabu menyokong desakan PAC yang menuntut supaya laporan siasatan jawatankuasa khas terhadap isu perolehan enam kapal tempur pesisir tentera laut dinyahklasifikasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2022.

PUTRAJAYA mesti mendedahkan kepada umum laporan siasatan jawatankuasa khas terhadap isu perolehan enam kapal tempur pesisir tentera laut, yang dibentuk oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata bekas menteri dan timbalan menteri pertahanan.

Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong berkata mereka menyokong desakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang juga menuntut supaya laporan jawatankuasa itu dinyahklasifikasi.

“Laporan ini mempunyai maklumat kewangan yang tidak termasuk dalam laporan PAC,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan, yang dipengerusikan bekas ketua audit negara Ambrin Buang, ditubuhkan oleh pentadbiran PH pada 30 Mei 2018.

Jawatankuasa itu diberi mandat untuk menyiasat isu tadbir urus, perolehan dan kewangan kerajaan semasa pentadbiran Barisan Nasional. 

Ia sempat menjalankan siasatan ke atas Kementerian Pertahanan sebelum pentadbiran PH tumbang akibat percaturan politik pada Februari 2022.

Selain laporan jawatankuasa itu, Mohamad dan Liew juga mendesak Putrajaya mendedahkan beberapa dokumen lain berkaitan isu perolehan enam kapal tempur pesisir, yang sehingga sekarang belum siap dibina. 

Dokumen-dokumen itu ialah laporan audit forensik oleh firm audit Alliance IFA terhadap projek kapal tempur pesisir yang dilaksanakan oleh syarikat Boustead Naval Shipyard sejak 2019.

“Laporan pengauditan forensik ini amat penting kerana mempunyai butiran tentang pihak yang bertanggungjawab di peringkat operasi projek,” kata mereka.

Mohamad dan Liew juga mahu 10 pucuk surat bekas Panglima Tentera Laut Laksamana Dr Abdul Aziz Jaafar yang dilaporkan langsung tidak dilayan oleh pucuk pimpinan kerajaan pada masa itu.

Surat-surat itu ditulis kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang juga menteri kewangan, bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi serta kepada ketua setiausaha negara dan ketua setiausaha perbendaharaan.

Dalam surat-suratnya, seperti yang disebut kepada PAC, Abdul Aziz menegur tatacara perolehan projek yang disifatkannya “salah”.

“Kami amat kecewa melihat teguran dan amaran beliau tidak dilayan,” kata Mohamad dan Liew.

Menurut mereka, segala dokumen itu perlu didedahkan kepada umum sebagai usaha “mendapatkan jalan keluar” skandal yang melibatkan berbilion ringgit dana awam.

Mereka menyeru Jemaah Menteri membuat keputusan untuk nyahklasifikasi dokumen-dokumen penting itu untuk semua pihak lebih memahami isu sebenar dan bersama-sama mencari penyelesaiannya.

“Tanpa nyahklasifikasi dokumen-dokumen ini, banyak soalan akan kekal tidak terjawab,” kata mereka.– 8 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen