PBB dijangka undi resolusi genjatan senjata Syria hari ini


Resolusi genjatan senjata itu bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dan perubatan dihantar ke kawasan diserang hebat tentera kerajaan terutama di Timur Ghouta. Dalam masa enam hari serangan, hampir 500 termasuk 100 kanak-kanak terbunuh di kawasan itu, disifatkan PBB sebagai 'neraka dunia.'– Gambar AFP, 24 Februari, 2018.

MAJLIS Keselamatan PBB menangguhkan undi untuk mendesak genjatan senjata 30 hari di Syra kepada tengahari Sabtu selepas rundingan berjam lamanya dengan Rusia gagal membuahkan hasil, kata diplomat.

Majlis memulakan rundingan tentang draf resolusi genjatan itu sejak 9 Februari ketika kerajaan Syria meneruskan serangan udara berterusan terhadap kubu kuat pemberontak di timur Ghouta.

Duta Kuwait Mansour al-Otaibi yang merupakan pengerusi majlis berkata “kami hampir selesai,” tetapi masih tiada konsensus mengenai draf resolusi itu.

Rundingan bermasalah dalam peruntukan utama tentang tarikh mula genjatan itu.

“Kami masih tak mampu atasi perbezaan sepenuhnya,” kata Duta Switzerland Olof Skoog kepada wartawan selepas pertemuan tertutup majlis.

“Kami akan bekerja malam ini dan harapnya kami boleh datang esok dan mengundi.”

Duta AS Nikki Haley meluahkan ketidakpuasan hati kerana rundingan memakan masa lebih panjang kerana ia menyekat bantuan kemanusiaan dan perubatan.

“Sangat sukar dipercayai yang Rusia menyekat undi genjatan senjata yang membolehkan akses kemanusiaan ke Syria,” tulisnya menerusi akaun Twitter.

“Berapa ramai lagi akan mati sebelum Majlis Keselamatan bersetuju mengadakan pengundian? Mari lakukannya malam ini. Rakyat Syria tak boleh tunggu.”

Lebih daripada 460 orang awam, termasuk lebih 100 kanak-kanak terbunuh sejak serangan ke atas kubu kuat pembangkang dilancarkan enam hari lepas, dan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengatakan 400,000 rakyat Syria hidup dalam “neraka dunia.”

Rundingan juga tergendala kerana permintaan Rusia supaya pemberontak yang menentang Presiden Bashar al-Assas mematuhi genjatan itu.

Pihak Rusia mahukan resolusi genjatan itu tidak terpakai kepada mana-mana operasi menentang Kumpulan Islam Syria dan Iraq (IS) dan Al-Qaeda, serta “individu, kumpulan, rakan sepakat atau entiti” berkaitan dengan kumpulan pengganas.

Resolusi itu menuntut semua genjatan senjata serta merta termasuk di Timur Ghouta, Yarmouk, Fouad an Kefraya serta semua kawasan lain bagi “menghapuskan sekatan perubatan dan makanan kepada orang awam.”

Genjatan itu pada mulanya dikatakan berkuatkuasa 72 jam selepas diluluskan, tetapi peruntukan itu masih dibincangkan.

Rusia menggunakan kuasa veto ke atas 11 resolusi terhadap Syria mensasarkan sekutunya di Damsyik. Pada November, ia menggunakan kuasa veto untuk menghentikan siasatan PBB ke atas senjata kimia yang digunakan di Syria. – AFP, 24 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen