Dirgahayu Daulah Wakanda


Izmil Amri

BERBEKALKAN keris Taming Sari dan pedang Cura Simanjakini, anakanda Sultan Mahmud, sultan terakhir negeri Melaka, dihantar ke Perak. Maka Raja Muzaffar Shah, yang ketika itu belum jadi sultan, pun berangkatlah dengan bertemankan Bendahara Tun Saban dan orang-orang besar negeri Perak.

Tiba di muara Sungai Perak, ditakdirkan Tuhan bahtera Raja Muzaffar telah tersangkut pada sebuah beting yang kini disebut sebagai Beting Beras Basah. Maka bertitahlah baginda menyeru ke langit:

Sekongkong tanah Minangkabau
Selilit Pulau Perca
Di lengkung ular Saktimuna
Perpisahan beta di Selat Melaka
Jika sah beta Raja Berdaulat
Lepaskan sekalian malapetaka.

Lalu disambut laungan Daulat Tuanku oleh yang lainnya. Maka terlepaslah bahtera itu dan berlayarlah ia mudik ke hulu dan mendarat di Tanah Abang. Maka ditabalkan ia menjadi Sultan Muzaffar Shah, mangkat 1549.

Kini, sistem pelantikan Raja Pemerintah dalam kesultanan negeri Perak Darul Ridzuan adalah antara yang paling menarik untuk kita saksikan. Sebelum tahun 1934, dua belas jawatan raja diatur sebelum mencapai tingkat sultan. Empat gelaran dimansuhkan pada tahun 1934, sehinggalah gelaran Raja Bendahara dimansuhkan pada tahun 1953.

Maka sejak 1953, sistem menuju takhta negeri bermula dengan Raja Kecil Bongsu, diikuti Raja Kecil Tengah, Raja Kecil Sulong, Raja Kecil Besar, Raja di-Hilir, dan seterusnya Raja Muda sebelum ditabal Sultan. Perak tidak mempunyai gelaran ‘tengku mahkota’ seperti di Johor kerana dalam satu riwayat lain, Raja Muzaffar melemparkan mahkotanya ke dalam laut ketika bahteranya sangkut di Beting Beras Basah.

Demikianlah serba ringkas bagaimana Perak dan kesultanannya menemukan kuasa. Saya tidak tahu banyak kerana saya orang Pulau Pinang. Kami tak ada sultan. Kami cuma ada mee sultan. Tapi saya tak berapa suka. Saya lebih suka mee sotong Padang Kota Lama. Tapi itu cerita lain.

Jika dibandingkan dengan cara Raja Wakanda mendapatkan kekuasaannya, jalan takhta Perak barangkali jauh lebih mudah.

Daulah Wakanda

Kita baharu sahaja diberitahu tentang kewujudan daulah cereka di timur benua Afrika ini melalui filem Black Panther, yang kini masih ditayang di pawagam.

Bashenga, Raja Wakanda yang pertama, menemukan sakti hasil mutasi verbanium ke dalam tumbuhan berbentuk hati, setelah diberi wahyu oleh dewa harimau kumbang, justeru berjaya mendamaikan puak-puak bertelagah dan diangkat menjadi ketua segala ketua. Kecuali puak Jabari, penyembah Hanuman.

Ritual pertabalan juga tidak secara mesyuarat dan mengundi semata-mata. Calon raja dibawa ke tebing air terjun, dipisahkan daripada sakti Black Panther, dan boleh dicabar kekuasaannya oleh puak-puak lain. Hanya dengan menyerah atau mati, maka sakti dan daulat Wakanda dikembalikan ke tubuhnya.

Ritual mencabar kekuasaan ini yang menarik perhatian saya kali kedua menonton Black Panther. Ya, sampai dua kali. Cerita ni best.

Sebelum ditabal menjadi raja, T’Challa, anaknya Almarhum T’Chaka harus memberanikan diri menerima cabaran sesiapa sahaja yang berani merampas takhta kerajaan. Ia diberi minum sesuatu yang menghilangkan sakti dan kuasa, lalu berdepan lawannya itu dengan hanya berbekalkan lembing dan perisai.

Ini jauh berbeza dengan cabaran kekuasaan di Malaysia.

Di negara bertuah ini, ritual percubaan mengambil alih kuasa berlangsung lima tahun sekali. Tetapi apa yang berbeza, kuasa kerajaan tidak lekang. Parti kerajaan malah boleh sahaja selamba menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen, menabur dedak dan janji pembangunan kepada para pengundi.

Parti lawannya pula tidak ada kelebihan ini. Apatah lagi ruang untuk muncul berucap di kaca televisyen. Maka pihak lawannya dibuli, diaibkan dan difitnah bertalu-talu di media arus perdana tanpa diberi peluang untuk menjawab.

Lebih memalukan, ketua parti kerajaan tidak pula diletakkan untuk berdepan ketua parti pembangkang, untuk berbahas dan mengajukan agenda dan aspirasi mereka untuk negara. Belum lagi suruh berkeris di tebing air terjun. Parti kerajaan boleh menang mudah jika dilihat pada sistem pemilihan yang berat sebelah.

Namun apa yang mengimbangi timbang tara yang pincang ini ialah kesaktian rakyat jelata. Kesaktian itulah yang menjadi taruhan dan harapan negara untuk membetulkan sistem yang pincang.

Dalam keadaan itu pun masih ada pandir yang mahu membiarkan keadaan terus menjahanam. Biarlah Selangor kembali ke Umno, biar Pulau Pinang ditadbir Gerakan, baru boleh diajar pakatan pembangkang; kata mereka.

Diberi peluang mencabar kuasa, berpaling dan melarikan diri dari tanggungjawab. Kalau di Wakanda, mungkin sudah dihukum sula. – 24 Februari, 2018.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen