PEJUANG Palestin dan Israel semalam memulakan gencatan senjata yang dicadangkan Mesir bagi menamatkan serangan sengit tiga hari di Gaza yang menyebabkan lebih 40 orang maut.
Sekurang-kurangnya 44 rakyat Palestin, termasuk 15 orang kanak-kanak terbunuh.
Gencatan yang bermula 11.30 malam waktu tempatan itu dilaksanakan untuk menamatkan pertemputan terburuk di Gaza sejak perang 11 hari pada Mei tahun lepas yang memusnahkan pesisir pantai Palestin.
Serangan bertalu-talu berlaku hingga menjelang gencatan senjata. Siren amaran dibunyikan di selatan Israel beberapa ketika sebelum dan selepas tempoh akhir ditetapkan.
Tiga minit selepas gencatan senjata bermula, tentera Israel dalam satu kenyataan berkata serangan ke atas pelbagai sasaran milik pejuang Islam di Gaza adalah sebagai tindak balas kepada roket yang dilepaskan ke arah wilayah Israel.
Dalam satu kenyataan lain dikeluarkan selepas tentera Israel berkata serangan terakhir dilakukan pada pukul 11.25 malam.
Meski kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan gencatan senjata, masing-masing memberi amaran akan bertindak balas terhadap sebarang keganasan.
Israel melancarkan serangan udara dan membedil kumpulan pejuang Palestin di Gaza, yang kemudian dibalas dengan ratusan roket oleh kumpulan pejuang itu.
Utusan Khas Keamanan Asia Barat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Tor Wennesland berkata keadaan ketika ini masih sangat rapuh.
“Saya menggesa semua pihak untuk mematuhi gencatan senjata,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP, 8 Ogos, 2022.
Komen