SEORANG lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam satu insiden letupan bom di Narathiwat, selatan Thailand hari ini.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Polis Waesamae Salae berkata dalam insiden kira-kira 8.30 malam (waktu tempatan) pada Sabtu mangsa yang terbunuh sedang berteduh di sebuah pondok berdekatan sebuah pos kawalan bersama isterinya yang turut cedera dalam kejadian itu.
“Sebutir bom buatan sendiri seberat 20 kilogram yang dipasang pada tong gas dan diletakkan di atas sebuah motosikal yang diubahsuai dan ia diaktifkan menggunakan walkie-talkie.
“Kekuatan letupan dan serpihan bom menyebabkan lelaki berusia 74 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, 57 tahun cedera parah,” katanya pada satu sidang media di Narathiwat hari ini.
Selain itu beliau berkata seorang lelaki, 56 berada dalam sebuah rumah berdekatan turut cedera apabila terkena bumbung rumah yang runtuh akibat impak letupan bom tersebut.
“Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di hospital,” katanya. – Bernama, 7 Ogos, 2022.
Komen