PEMASANGAN pagar besi di sekeliling Padang Merbok di Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada kaedah penyelenggaraan dan penjagaan padang di kawasan berkenaan bagi memastikan ia sentiasa dalam kondisi terbaik serta boleh digunakan secara optimum.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah berkata penggunaan padang tanpa kawalan dan sistem teratur sebelum ini mengakibatkan kawasan hijau itu sering rosak, sekali gus menelan kos baik pulih dan naik taraf yang tinggi.
“Dengan pagar itu saya yakin penjagaan padang akan lebih sempurna dan terkawal, dan sesiapa saja boleh membuat booking (tempahan) untuk menggunakan padang.
“Orang nak masuk pun kita boleh uruskan dengan baik, ada giliran, kalau padang tu rosak kita tutup sekejap, baiki dan selenggara sebelum dibuka balik, saya rasa ia akan lebih terkawal dan terjamin,” katanya.
Semalam (6 Ogos), media melaporkan dua ahli Parlimen Wilayah Persekutuan mempersoal dan meminta penjelasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan tindakan mendirikan pagar berstruktur kekal setinggi sekitar 1.5 meter di sekeliling padang itu, dan menyifatkan perkara itu sebagai menghantar isyarat salah kepada warga kota.
Antara yang dipersoal termasuk pagar berkenaan dilihat menghalang warga kota menggunakan kemudahan awam untuk rekreasi selain menghalang daripada berkumpul sebelum berjalan ke bangunan Parlimen bagi menghantar memorandum atau melalui protes.
Mengulas lanjut, Mahadi berkata, orang ramai masih dibenarkan menggunakan padang itu dengan kebenaran secara berjadual dan pendekatan serupa juga pernah dilaksanakan di beberapa kawasan lain bagi tujuan sama.
Tegasnya, padang itu yang juga mengalami isu saliran, masih menjalani kerja naik taraf dan belum dibuka kepada orang ramai. – Bernama, 7 Ogos, 2022.
Komen