2 tahun untuk pulih bisnes, kata peniaga pasar malam


Elill Easwaran

Peniaga pasar malam menjangkakan perniagaan mereka mampu pulih sepenuhnya susulan pandemik Covid-19 dalam tempoh 2 tahun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Ogos, 2022.

PENIAGA pasar malam di Lembah Klang masih bergelut untuk memulihkan perniagaan mereka dan meramalkan ia akan mengambil masa kira-kira dua tahun bagi mereka mengembalikan perniagaan mereka ke tahap sebelum pandemik.

Junaini Idris, 42, yang menjual pakaian di pasar malam Seksyen 27 di Shah Alam berkata, tahap perniagaannya hanya pada 30% sekarang.

“Secara peribadi saya fikir ia mengambil masa kira-kira dua tahun lagi untuk perniagaan kami kembali seperti sebelum ini.

“Saya pasti gembira jika perniagaan kami kembali ke tahap 50% tetapi ia nampaknya tidak akan berlaku,” kata Junaini yang berkecimpung dalam perniagaan selama 10 tahun.

Beliau bagaimanapun berkata, faktor lain yang mempengaruhi perniagaannya adalah pembelian dalam talian yang lebih menonjol semasa pandemik Covid-19.

“Kini orang ramai tidak datang ke pasar malam untuk membeli pakaian, mereka lebih suka membeli-belah secara dalam talian.

“Pelanggan mendapati lebih mudah untuk membeli-belah dalam talian dan lebih selamat memandangkan bilangan kes Covid-19 semakin meningkat,” katanya.

Kerajaan membenarkan pasar malam beroperasi mulai Januari berikutan kelonggaran sekatan Covid-19. Pasar malam bagaimanapun hanya dibenarkan beroperasi antara jam 4 petang hingga 10 malam.

Penjual minuman Danial Dollah, 19, berkata perniagaan meningkat secara perlahan-lahan.

“Perniagaan saya kini meningkat sehingga 50% sejak penutupan berakhir. Tetapi saya fikir ia masih mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun sebelum ia kembali kepada 100%,” kata Danial yang mengusahakan gerainya di Pasar Malam Seksyen 19 di Shah Alam.

Junaini Idris, peniaga pakaian di pasar malam Seksyen 27 di Shah Alam berkata, tahap perniagaannya hanya pada 30% sekarang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Ogos, 2022.

Danial juga berkata, dia bersyukur kerana perniagaan di Shah Alam bagus berbanding pasar malam di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

“Daripada apa yang saya tahu, perniagaan pasar malam di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur tidak begitu menggalakkan.”

Penjual ikan di pasar malam Sentul, Ahmad Hariz, 29, berkata perniagaan ketika ini tidak begitu stabil.

“Saya sudah berniaga selama 10 tahun tetapi sejak perintah kawalan pergerakan, perniagaan tidak bagus.

“Ada harinya kita buat duit, ada hari kita hampir tak dapat langsung,” kata Ahmad, sambil menambah perniagaan hanya pada 60% sekarang.

“Semuanya mahal sekarang tetapi gajinya rendah menyebabkan orang ramai tidak kerap datang membeli barang.”

Mengalami kerugian

Sementara itu, penjual buah-buahan Sue Wong, 58, yang beroperasi di pasar malam Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur berkata dia hampir tidak mengaut keuntungan.

“Saya tidak menaikkan harga selama lebih 10 tahun, jadi margin keuntungan saya menjadi lebih kecil sekarang.

“Saya hanya menjual apa yang saya mampu dan mudah-mudahan ia mencukupi buat keluarga saya,” kata Sue yang sudah 20 tahun menjadi penjual.

Menurutnya, banyak buah-buahan menjadi sia-sia kerana tidak dijual.

Penjual ikan di pasar malam Sentul, Ahmad Hariz berkata perniagaan ketika ini tidak begitu stabil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Ogos, 2022.

“Kira-kira 10% buah-buahan saya terbuang hampir setiap hari. Tetapi walaupun saya mengambil sedikit stok ia masih membazir sehingga ada kalanya saya mengeluarkan lebih banyak wang daripada yang saya perolehi,” katanya.

Penjual K Kugen berkata, dia hanya memperoleh kira-kira RM80-RM100 sehari.

“Saya menjual gajet telefon di sini selama hampir setahun sejak sekatan itu ditarik balik.

“Tetapi saya perhatikan orang ramai cenderung membeli produk ini menerusi pembelian dalam talian,” kata Kugen, yang beroperasi di pasar malam Taman Tun Dr Ismail.

Kugen berkata, dia diberhentikan kerja sebelum ini sebagai pemandu pelancong ketika pandemik itu dan menceburi perniagaan gerai di pasar malam.

Awal minggu ini, setiausaha Persatuan Pasar Malam Kuala Lumpur (PMKL) Charles James Roy berkata, peniaga yang tidak beroperasi di pasar malam yang ditetapkan di Kuala Lumpur berisiko kehilangan lesen perniagaan mereka jika terus tidak hadir di tapak niaga.

Amaran keras itu dibuat selepas penganjur pasar malam mendapati peniaga terlalu kurang di lokasi masing-masing.

“Sejak April, pasar malam dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

“Bagaimanapun, beberapa pasar malam menyaksikan peratusan keluar berniaga yang amat teruk,” katanya. – 7 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen