2 cedera insiden tembakan di universiti Louisiana


Pengurusan Universiti Southeastern Louisiana memaklumkan tiada ancaman yang membahayakan di kampus, menerusi Facebook rasminya. – Gambar Facebook, 23 Februari, 2018.

DUA cedera dalam satu kejadian tembakan awal pagi di Universiti Southeastern Louisiana, sembilan hari selepas insiden tembakan rambang besar-besaran di sekolah menengah Florida yang mencetuskan desakan di Amerika Syarikat (AS) tentang kawalan penggunaan senjata api.

“Polis universiti mengesahkan insiden itu berlaku di kampus utara membabitkan beberapa individu. Tembakan dilepaskan, dua individu mengalami kecederaan yang tidak membawa maut,” kata universiti itu dalam satu kenyataan di Twitter.

Katanya, pelajar dimaklumkan menerusi sistem kecemasan universiti pada 4:01 pagi.

“Tiada ancaman kepada masyarakat kampus,” katanya, menambah polis universiti sedang menyiasat insiden itu.

Kejadian di universiti di Hammond, Louisiana itu berlaku ketika perdebatan nasional sedang berlangsung berhubung kawalan penggunaan senjata api, susulan kematian 17 pelajar dan guru di Sekolah Menengah Marjory Stoneman Douglas di Florida pada 14 Februari.

Penembak terbabit yang juga seorang bekas pelajar, Nikolas Cruz mengakui membeli senapang jenis AR-15 secara sah tahun lalu, ketika berusia 18 tahun. – AFP, 23 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen