Pegawai tinggi peluru berpandu Taiwan ditemui mati di hotel


Kematian pegawai tinggi yang terlibat dalam pengeluaran peluru berpandu Taiwan itu terjadi ketika China membuat latihan tentera berdekatan Taiwan, dan susulan lawatan Nancy Pelosi baru-baru ini. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2022.

SEORANG pegawai tertinggi yang terlibat dalam pengeluaran peluru berpandu Taiwan meninggal dunia akibat masalah jantung pada Sabtu, kata institut milik tentera tempat mendiang bekerja.

Kematiannya berlaku ketika China membuat latihan tentera di sekitar Taiwan, yang bertujuan menunjukkan kekuasaannya ke atas pulau demokrasi itu susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Nancy Pelosi.

Ouyang Li-hsing merupakan naib presiden Institut Sains dan Teknologi Chung-Shan Kebangsaan dan telah mengembara ke selatan pulau itu untuk perniagaan, lapor Agensi Berita Pusat Taiwan.

Dalam satu kenyataan disiarkan di laman webnya, institut itu mengesahkan Ouyang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah hotel di Hengchun, Daerah Pingtung pada pagi Sabtu.

“Pemeriksaan forensik mendapati punca kematian adalah infarksi miokardium dan angina pectoris,” katanya.

Ouyang menyandang jawatannya awal tahun ini dan ditugaskan untuk menyelia “pengeluaran pelbagai jenis peluru berpandu”, kata CNA.

Beijing melancarkan beberapa peluru berpandu terus ke atas pulau utama Taiwan dalam latihan itu, kata media kerajaan China pada Jumaat.

Tetapi Taipei enggan mengesahkan atau menafikan laluan penerbangan, memetik kebimbangan perisikan.

Kerajaan pulau itu cuba mempercepatkan pengeluaran peluru berpandunya sendiri dalam menghadapi ancaman ketenteraan yang semakin meningkat yang ditimbulkan China.

Parti Komunis China yang memerintah melihat pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan berjanji akan mengambilnya suatu hari nanti, secara paksa jika perlu. – AFP, 6 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen