Pertempuran dengan Al-Ma'unah bukan muslihat politik, kata bekas komander tentera


Alfian Z.M. Tahir

Bekas panglima medan tentera darat Mohd Zaini Mohd Said menafikan insiden pertempuran dengan kumpulan Al-Ma'unah satu lakonan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 6 Ogos, 2022.

PANGGILAN telefon pada 2 Julai 2000 mungkin antara panggilan paling mengejutkan yang pernah diterima oleh Zaini Mohd Said, yang ketika itu merupakan komander medan tentera Malaysia.

Pegawai di talian itu menceritakan kepadanya berita yang beliau sendiri tidak dapat tangkap, serbuan berani ke atas gudang senjata, kem Simpanan Tentera Darat Malaysia ke-304 di Gerik, Perak, baharu sahaja berlaku awal malam itu.

“Ia sangat mengejutkan. Saya tidak percaya dengan apa yang saya dengar di talian. Pada masa sama, saya kecewa insiden sebegitu boleh berlaku,” imbas pesara leftenan jeneral berusia 73 tahun itu.

“Panggilan telefon itu sekitar 8.30 pagi dan pemeriksaan palsu dilakukan oleh Al-Ma’unah berlaku sekitar 2 hingga 3 pagi.”

Serbuan oleh Al-Ma’unah - diketuai oleh Mohamed Amin Mohamed Razali - mengejutkan negara pada 2000 apabila Amin dan 27 ahli kumpulan itu menyamar sebagai anggota tentera sebelum mencuri senjata termasuk 97 senapang serangan M16, dua senapang Steyr AUG, empat mesingan tujuan am, enam mesingan ringan, lima pelancar bom tangan dan beribu-ribu butir peluru.

Kumpulan itu terlebih dahulu memandu ke Kem Pos 2 Kuala Rhui, diikuti Kem Bn 304 Askar Wataniah sambil lengkap berpakaian tentera.

Kumpulan itu berpura-pura melakukan “pemeriksaan mengejut” terhadap anggota tentera yang ditempatkan di dua pos tersebut.

Selepas memuatkan Mitsubishi Pajeros yang dicat dengan warna tentera dengan senjata dari gudang  senjata, kumpulan itu bergerak ke Bukit Jenalik, Sauk, berhampiran Kuala Kangsar di Perak untuk bertempur.

Dalam pertempuran dengan tentera, militan menembak dan membunuh Koperal Tentera Matthew Medan selepas beliau dijadikan tebusan manakala Detektif Koperal Raju Saghadevan ditembak mati oleh Amin sebagai tindakan balas selepas seorang anak buahnya terbunuh dalam satu tembakan.

Mengimbas kembali kejadian itu, Zaini menyangkal dakwaan pihak tertentu yang keseluruhan episod itu dirancangdan ia sebahagian daripada muslihat politik.

Zaini memberitahu The Malaysian Insight tiada siapa mampu mengada-adakan cerita itu kerana ia terlalu rumit untuk merancang keseluruhan senario.

“Tragedi Sauk seperti dilaporkan dalam berita, atau Ops 304 yang kami (tentera) panggil, bukanlah satu konspirasi, apatah lagi helah politik yang dibuat untuk mengalih perhatian rakyat.

“Insiden itu benar. Ia bukan lakonan, tiada pelakon di dalamnya dan kami kehilangan dua anggota yang bagus semasa pertempuran itu.

“Jika itu semua sandiwara, adakah kedua-dua pegawai itu bersetuju diambil nyawa mereka? Bukankah mereka mempunyai keluarga yang menunggu?” soal Zaini ketika ditemu bual sempena Hari Pahlawan baru-baru ini.

“Sebagai komander medan, saya secara peribadi mengeluarkan arahan yang semua anggota kumpulan itu mesti ditahan hidup-hidup. Tiada siapa yang harus mati. Itu arahan saya.

“Tetapi perkara tidak menjadi seperti yang dirancang. Malangnya, seorang komando tentera dan seorang pegawai polis terbunuh.”

‘Amin tembak saya’

Zaini yang berasal dari Negeri Sembilan berkata beliau memutuskan untuk berunding dengan Amin bagi meredakan ketegangan antara Al-Ma’unah dan pasukan keselamatan.

“Saya mendaki bukit tanpa sebarang senjata dan berjumpa Amin. Beliau diiringi orang kanannya dan saya bersama pegawai saya. Saya memberitahunya tidak membawa senjata. Saya memintanya menyerah diri kerana kami sudah mengepung mereka dan mereka tidak boleh berbuat apa-apa lagi,” katanya.

“Amin berdegil. Mereka tidak akan pergi melainkan dibebaskan. Saya kata itu tidak mungkin berlaku dan ketika itulah saya sedar saya melakukan kesilapan. Amin mengambil M16 miliknya dan mengacukan ia ke perut saya.”

Tanpa senjata, Zaini tidak dapat mempertahankan dirinya. Mengingati saat itu, Zaini berkata beliau menyangka itu adalah hari terakhirnya.

“Hanya satu milisaat lebih pantas daripada beliau (Amin) saya menyentak M16 miliknya dan pada masa ini, saya terdengar bunyi tembakan. Amin menembak saya, tetapi milisaat itu memberi perbezaan dan peluru itu mengenai salah seorang anak buahnya,” katanya.

“Ketika itulah saya menjatuhkannya, menumbuknya beberapa kali dan dalam beberapa saat pegawai yang bersama saya berjaya mengawalnya dan menamatkan ketegangan itu.”

Bagaimanapun, semasa menuruni bukit dan memasuki kemnya, Zaini mengaku terkejut dengan kejadian itu.

“Saya masih ingat berkata sendirian ‘ia sangat hampir.’ Saya terkejut kerana jika saya sedikit perlahan satu milisaat daripada Amin, saya tidak akan berada di sini hari ini,” katanya.

Kerana keberaniannya menamatkan pengepungan itu, Zaini dianugerahkan pingat Seri Pahlawan (SP), anugerah tentera tertinggi negara.

Ia setara dengan Victorian Cross (VC), anugerah tertinggi dan paling berprestij yang diberikan kepada anggota angkatan tentera British.

“Bukan niat saya untuk menjadi wira. Tetapi sebagai komander, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan tiada orang lain yang terkorban,” kata Zaini.

“Kebetulan saya dapat menamatkan pengepungan, tetapi dalam operasi itu, kami semua mempertaruhkan nyawa sendiri. Ia bukan hanya mengenai saya.”

Susulan penahanan anggota Al-Ma’unah, Amin dan tiga leftenannya dihukum gantung pada Ogos 2006, kira-kira enam tahun selepas kejadian itu.

Ahli kumpulan lain dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Pada 2020, baki 13 ahli Al-Ma’unah menerima pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong. – 6 Ogos, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen