Skandal LCS: Adakah Najib, Zahid bersekongkol beri kelebihan kepada syarikat bermasalah?


AMAT mengejutkan bahawa antara watak utama skandal RM9.1286 bilion perolehan Littoral Combat Ship (LCS) merupakan watak yang sama dalam skandal kapal selam Scorpene dan Agosta yang melibatkan mantan menteri pertahanan (kemudiannya perdana menteri) Najib Razak, dan penasihat Najib, Razak Baginda yang berkait rapat dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan minggu ini, mantan Panglima Tentera Laut Laksamana Dr. Abdul Aziz Jaafar menyatakan bahawa kerajaan telah mengetepikan rancangan asal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menggunakan LCS rekabentuk SIGMA oleh syarikat Belanda, Damen Shipyard, dan sebaliknya bersetuju dengan syarikat kontraktor Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk menggunakan rekabentuk GOWIND oleh syarikat DCNS dari Perancis (kini bertukar nama menjadi Naval Group).

Mengikut laporan PAC, menteri pertahanan ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi telah membelakangi keputusan bersama TLDM dan pada Julai 2011, tanpa merujuk kepada TLDM, Ahmad Zahid telah memberi kebenaran kepada BNS untuk mengubah rancangan asal tersebut.

DCNS merupakan syarikat pembekal yang terlibat dalam skandal rasuah perolehan dua buah kapal selam Scorpene dan sebuah kapal selam Agosta bernilai RM5.1 bilion oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2002 ketika Najib Razak merupakan menteri pertahanan.

Pada tahun 2010, kes rasuah tersebut telahpun dilapor kepada pihak berkuasa di Perancis dan butiran kes telah diketahui umum sama ada di Perancis mahupun di Malaysia terutamanya perkaitan rapat dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaaribuu.

Justeru, amat menghairankan kenapa projek LCS yang dimulakan pada tahun 2010 dengan surat pelantikan hanya dikeluarkan pada Disember 2011 masih lagi menggunakan sebuah syarikat pembekal yang sudah terpalit dalam skandal rasuah berskala antarabangsa tersebut.

Syarikat DCNS bahkan telah ditolak oleh TLDM kerana rekabentuk kapal yang tidak sesuai serta tidak terbukti keberkesanannya, sistem pengurusan kombat (combat management system) yang tidak berpadanan dengan peralatan pilihan TLDM serta akan luput dalam jangka masa singkat 5-10 tahun, malah berkos lebih tinggi.

Surat-surat bantahan terhadap isu ini oleh Panglima Tentera Laut kepada perdana menteri dan menteri pertahanan ketika itu tidak diendah.

Soalan di sini adalah, adakah Najib Razak sebagai Perdana Menteri ketika itu, telah bersekongkol dengan Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi, untuk terus memberi kelebihan kepada DCNS yang telah didakwa atas kesalahan rasuah dalam skandal Scorpene dan Agosta? – 5 Ogos, 2022.

* Steven Sim Chee Keong, ahli Parlimen Bukit Mertajam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen