Putrajaya kena jawab pendedahan Meta tentang 'troll farm' polis, kata DAP


Ravin Palanisamy

PUTRAJAYA perlu menjawab laporan oleh Meta yang mengaitkan polis cuba memanipulasi rakyat dengan membuat “troll farm”, kata Syahredzan Johan.

Pengerusi biro media sosial DAP itu menyoal sama ada kerajaan menggunakan wang pembayar cukai untuk mendanai “troll farm”, seperti yang didakwa dalam laporan tersebut.

“Sekiranya benar, ia mendedahkan suatu usaha bersepadu untuk memanipulasi perbincangan awam dengan menggunakan akaun-akaun dan laman-laman palsu bagi manfaat politik pihak kerajaan.

“Walaupun akaun-akaun dan laman-laman ini telah dikenalpasti dan dipadam oleh Meta, laporan ini menunjukkan bahawa kerajaan membiayai trolls dan cybertroopers menggunakan dana dan sumber awam demi kepentingan politik mereka,” katanya.

Meta, syarikat yang mengendalikan platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, telah menerbitkan laporan Quarterly Adversarial Threat Report hari ini.

Laporan tersebut, antara lain, menyatakan pihak Meta telah mengenalpasti dan mengeluarkan 596 akaun Facebook, 180 page Facebook, 11 kumpulan Facebook and 72 akaun Instagram yang merupakan sebahagian daripada sebuah “troll farm” yang ditujukan pada pengguna media sosial dalam negara.

Meta turut mengaitkan peranan polis Malaysia dalam laporan tersebut.

The Malaysian Insight sedang menghubungi polis Malaysia dan sedang menunggu jawapan mereka.

Meta berkata laporannya memberikan maklumat tentang ancaman global yang telah ditangani oleh gergasi media sosial itu secara global, termasuk di Malaysia, Rusia, Israel, Pakistan, India, Afrika Selatan, Greece dan Filipina.

“Kami juga mengeluarkan tiga rangkaian yang terlibat dalam operasi gelagat tidak tulen (CIB) yang diselaraskan, termasuk satu rangkaian yang dikaitkan dengan firma perhubungan awam di Israel, dan dua ‘troll farm’ berasingan - satu di Malaysia yang menyasarkan khalayak domestik dan satu di Rusia menyasarkan wacana global tentang perang di Ukraine.

“Di Malaysia, kami mengeluarkan 596 akaun Facebook, 180 halaman, 11 kumpulan dan 72 akaun Instagram kerana melanggar dasar kami terhadap CIB. Rangkaian ini berasal dari Malaysia dan menyasarkan khalayak domestik di negara tersebut.

“Individu di belakangnya menjalankan ‘troll farm’ - usaha yang diselaraskan oleh pengendali yang ditempatkan bersama untuk merosakkan atau memanipulasi wacana awam dengan menggunakan akaun palsu dan mengelirukan orang ramai tentang siapa di belakang mereka.

“Mereka aktif merentasi internet, termasuk Facebook, TikTok, Twitter dan Instagram, malah menyiarkan meme dalam bahasa Melayu untuk menyokong gabungan kerajaan sekarang, dengan dakwaan rasuah dalam kalangan pengkritiknya,” kata laporan itu.

Di Facebook, rangkaian ini mengurus halaman, termasuk yang menyamar sebagai entiti berita bebas, dan mempromosikan polis sambil mengkritik pembangkang.

“Kami menemui rangkaian ini selepas menyemak maklumat tentang sebahagian kecil aktiviti ini yang pada mulanya disyaki berasal dari China oleh penyelidik di Universiti Clemson. Walaupun pihak di belakangnya cuba menyembunyikan identiti dan penyelarasan mereka, siasatan kami menemui ia ada kaitan dengan Polis Diraja Malaysia,” kata laporan itu.

Laporan itu berkata kira-kira 427,000 akaun mengikuti satu atau lebih halaman ini, manakala kira-kira 4,000 akaun mengikuti satu atau lebih kumpulan ini, dan 15,000 akaun mengikuti akaun Instagram.

“Sekitar AS$6,000 (kira-kira RM26,741) dibelanjakan untuk iklan di Facebook dan Instagram,” kata laporan itu.

Syahredzan berkata kerajaan perlu beri penjelasan terperinci dan telus berhubung dakwaan yang terkandung dalam laporan Meta itu, menambah kegagalan berbuat demikian akan memberi persepsi negatif yang badan dan sumber awam telah digunakan untuk tujuan politik kerajaan hari ini.

“Tidak keterlaluan untuk membuat kesimpulan bahawa selain daripada akaun-akaun dan laman-laman ini, terdapat akaun-akaun dan laman-laman lain, merentasi pelbagai platform media sosial, yang juga menjalankan kegiatan yang sama. Sumber-sumbar awam, termasuklah badan yang sepatutnya berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia, tidak sepatutnya digunakan untuk tujuan politik seperti ini,” katanya. – 5 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen