Iran gesa Arab Saudi bebaskan rakyat ditangkap waktu tunai haji


IRAN pada Jumaat menggesa Arab Saudi membebaskan salah seorang rakyatnya yang ditahan semasa menunaikan haji, ketika kedua-dua seteru serantau itu terlibat dalam perbincangan untuk memperbaiki hubungan.

Republik Islam itu mendedahkan penahanan itu dalam satu kenyataan kementerian luar mengenai panggilan telefon antara Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian dan rakan sejawatannya dari Iraq, Fuad Hussein.

Iraq telah menjadi pengantara rundingan antara dua jirannya sejak April tahun lalu.

“Dalam panggilan ini, menteri luar Iran bertanya tentang nasib seorang warga Iran yang ditangkap di Arab Saudi semasa menunaikan haji dan menghubungi (kementerian luar Iraq) bagi menyampaikan mesej bagi pembebasan mereka,” kata kenyataan itu.

Ia tidak memberikan butiran lanjut mengenai identiti warganegara itu atau sebab penahanan semasa haji bulan lepas.

Hampir 780,000 jemaah dari luar negara menunaikan ibadah haji tahun ini, menurut pegawai Saudi.

Seteru serantau Tehran dan Riyadh tidak mempunyai hubungan sejak 2016 apabila penunjuk perasaan Iran menyerang misi diplomatik Arab Saudi di Iran selepas kerajaan itu menghukum mati ulama Syiah Nimr al-Nimr.

Menteri Luar Iraq berkata pada 23 Julai bahawa negaranya sedang bersedia untuk menjadi tuan rumah mesyuarat “awam” rakan sejawatannya dari Saudi dan Iran. – AFP, 5 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen