Polis tempatkan 400 pegawai, anggota kawal perlawanan Piala FA 


Polis akan memastikan kelancaran perlawanan bola sepak antara pasukan Terengganu FC dan Selangor FC termasuk aliran trafik yang dijangka sesak di sekitar lokasi stadium. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2022.

POLIS akan menempatkan 400 pegawai dan anggota bagi mengawal keselamatan sepanjang perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, malam esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din berkata ia bagi memastikan kelancaran perlawanan bola sepak antara pasukan Terengganu FC dan Selangor FC termasuk aliran trafik yang dijangka sesak di sekitar lokasi stadium.

“Orang ramai atau penonton diingatkan supaya tidak meletakkan kenderaan dan menghalang jalan atau laluan ke kawasan pintu utama SSMZA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata pemeriksaan badan dan beg juga akan dilakukan bagi memastikan penonton tidak membawa masuk bahan terlarang yang boleh menggugat keselamatan.

Menurutnya barangan larangan itu termasuk mercun, bunga api, suar, mancis, pemetik api dan sebarang objek tajam seperti pisau, payung dan besi.

“Saya juga mahu ingatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan kekacauan dengan mengadakan perhimpunan atau perarakan sebelum atau selepas perlawanan. Sebarang provokasi akan dikenakan tindakan tegas sekiranya ditangkap,” katanya. – Bernama, 5 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen