SEMUA negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) perlu pinda undang-undang tubuh atau enakmen negeri selepas rang undang-undang (RUU) larangan lompat parti diluluskan Dewan Rakyat Khamis lepas, kata Ahmad Maslan.
Setiausaha agung Umno berkata beliau akan berbincang dengan penasihat undang-undang parti mengenai perkara dalam perlembagaan yang perlu dipinda.
Beliau juga berkata selaras dengan RUU antilompat parti, Umno mungkin akan pinda semula perlembagaannya.
“Kita akan berbincang dengan penasihat undang-undang Umno apakah perlembagaan parti, fasal dan perkara yang perlu dipinda selaras dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu,” katanya,
Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, di Kuala Lumpur malam ini.
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berhubung peruntukan larangan bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah “lompat parti” telah diluluskan Dewan Rakyat minggu lepas.
Ia antara lain menyebut seseorang ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya, jika wakil rakyat itu bertukar parti.
Bagaimanapun, undang-undang tersebut turut membenarkan parti memecat wakil rakyat yang ingkar arahan sehingga menyebabkan kekosongan kerusi serta-merta.
Semalam, DAP berkata dalam Kongres Khas pada 25 September ini ia akan mencadangan pindaan perlembagaan partinya yang mensyaratkan mana-mana ahli Parlimen atau Adun yang tidak mengikut keputusan parti dalam perkara-perkara tertentu bakal dilucutkan keahliannya.
Sementara itu, Ahmad juga berkata Umno telah mengarahkan semua jenteranya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang didakwanya boleh dibuat dalam masa terdekat.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai tarikh PRU15 ketika ditanya pemberita.
“Mesyuarat ambil masa dua jam. Jika semuanya direkodkan, akan jadi buku.
“Jadi, saya cuma akan bercakap mengenai perkara yang dinyatakan dalam kenyataan media,” katanya.
Ahmad juga berkata pemilihan parti biasanya diadakan selepas pilihan raya umum.
Beliau memberi contoh pemilihan parti yang diadakan selepas PRU14.
“Kita dah buat pemilihan selepas PRU14 jadi pemilihan seterusnya adalah selepas PRU15. (Pemilihan) tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU15,” katanya.
Pada 29 Julai, Ahmad berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan permohonan berkaitan perlembagaan Umno bagi membenarkan penangguhan pemilihan partinya.
Dalam pada itu, Ahmad turut berkata mesyuarat MKT hari ini memutuskan Perhimpunan Agung Umno akan diadakan dari 23 hingga 26 November ini. – 4 Ogos, 2022.
Komen