.jpg)
KENYATAAN Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat kelmarin seolah-olah memberi gambaran yang beliau tersepit antara memilih sama ada bertugas mengikut buku atau mengikut perintah tak bertulis ketua yang durjana.
Laporan terbaharu daripada Tengku Zafrul menunjukkan seolah-olah beliau bermain persepsi dengan membuat kenyataan bahawa hutang 1MDB tidak menjejaskan kewangan negara.
Rakyat Malaysia faham dan sedar bahawa ini adalah cubaan untuk membersihkan nama individu yang bertanggungjawab dalam isu hutang 1MDB ini, tetapi rakyat Malaysia juga ingin tahu apakah langkah-langkah, cadangan mahupun pandangan yang telah diketengahkan oleh beliau selaku menteri kewangan untuk menyelesaikan isu hutang ini.
Tengku Zafrul dilantik sebagai menteri kewangan oleh Muhyiddin Yassin dahulu adalah berdasarkan portfolio selaku ahli teknokrat dan profesional dari sektor perbankan bagi mengelakkan kementerian kewangan dimanipulasi untuk tujuan politik.
Tugas hakiki beliau adalah mengurus dan menyelesaikan masalah kewangan negara. Yang dipertanggungjawabkan kepada beliau ini melibatkan duit rakyat, bukan syarikat persendirian milik Barisan Nasional.
Sekiranya hutang negara tidak dibayar dengan baik, negara berpotensi untuk diisytiharkan muflis. Pada masa sama, ia bakal memberi kesan negatif kepada pelabur luar untuk melabur.
Hal ini akan menjadikan negara berhutang dengan bank dunia di mana tabung dana kerajaan akan merosot. Dana yang dimaksudkan bukan sahaja dana pembangunan malah dana operasi awam juga akan terhakis. Ekonomi bakal menjunam dan kesannya adalah malapetaka bagi rakyat yang harus menanggung beban.
Negara telah mewarisi legasi hutang yang begitu serius, dan ini antara lainnya mengakibatkan gaji rendah yang gagal menyaingi inflasi, harga kereta yang mahal, kadar kemiskinan yang tinggi, ketidaksamaan pendapatan, kenaikan kadar tol lebuh raya yang kerap, penurunan standard pendidikan, pengangkutan awam yang teruk, serta kapitalisme kroni yang berleluasa.
Kini, kita dapat lihat negara sedang berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil pasca pandemik Covid-19, ditambah pulak dengan ketidakstabilan politik.
Belum pun selesai kes 1MDB, Tengku Zafrul yang dilihat tidak masuk campur sebelum ini, kini mengeluarkan kenyataan seolah-olah memperlihatkan agenda tersembunyi.
Pada Mac lalu, Tengku Zafrul sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa hutang 1MDB yang mula dibayar pada ketika itu adalah dengan menggunakan wang rakyat. Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan kelmarin bagi menjawab soalan YB Wong Kah Poh telah beralih arah 360 darjah.
Perkara ini sangat membimbangkan dan amat mengelirukan rakyat.
Sekiranya hutang 1MDB tidak termasuk dalam komitmen hutang kerajaan, mengapakah hutang tersebut dibayar menggunakan wang rakyat? – 4 Ogos, 2022.
* Mahathir Mohd Rais, ketua Bersatu Segambut.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen