PKR perlu kerja keras tarik balik penyokong tegar, kata Rafizi


Noel Achariam

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata sejak beberapa tahun lepas pengundi mereka di kawasan bandar dan separa bandar telah berubah fikiran yang sekali gus menyebabkan mereka tidak keluar mengundi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Ogos, 2022.

PKR perlu bekerja keras memanangi semula hati penyokong tegar yang bakal menjadi penentu menang atau kalah parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Rafizi Ramli.

Timbalan presiden PKR berkata sejak beberapa tahun lepas pengundi mereka di kawasan bandar dan separa bandar telah berubah fikiran yang sekali gus menyebabkan mereka tidak keluar mengundi.

Katanya PKR perlu kembali kepada keadaan asal seperti sebelum sebelum PRU14 dengan sokongan pengikut tegar.

“Fokus kami adalah untuk membina semula sokongan dan gerakan bagi meyakinkan rakyat yang kami parti sentrik.

“Terutamanya golongan pertengahan dan pengundi berbilang kaum di mana pandangan politik mereka tidak dapat ditentukan,” kata Rafizi kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya ketika ini PKR mempunyai 15 peratus penyokong tegar daripada jumlah keseluruhan pengundi di negara ini.

Rafizi berkata, PKR merupakan parti yang sangat sentrik yang menumpukan kepada idea, pemodenan kerana masa depan terletak pada parti yang akan menumpukan kepada kehidupan seharian rakyat.

“Jika kita buat ini maka kita boleh singkirkan parti berasaskan agama, kaum dan haluan kanan.

“Mereka masih mempunyai penyokong tetapi sebilangan besar penyokong atas pagar dan majoriti senyap akan bagi tumpuan kepada parti sentrik.”

Rafizi berkata, apa yang perlu diberi tumpuan oleh Pakatan Harapan (PH) dan PKR ialah mencari jalan untuk mendapatkan kembali momentum pada 2018, supaya mereka dapat meningkatkan kumpulan pengundi yang menolak Umno.

“Satu lagi masalah yang kami hadapi ialah memikat penyokong tegar yang secara tradisinya menyokong PH.

“Penyokong daripada kumpulan ini yang keluar mengundi adalah rendah.”

Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata terdapat perbezaan antara penyokong tegar Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan PH.

“Penyokong tegar BN dan PN pasti akan keluar mengundi, walaupun mereka tidak bersetuju (dengan parti),” kata Rafizi.

“Manakala penyokong PH yang berlatarbelakangkan kelas pertengahan dan lebih tertumpu di kawasan bandar akan cepat menarik sokongan mereka.

“Sebagai contoh ada yang kecewa atau tidak bersetuju dengan hala tuju PH, walaupun secara tradisinya mereka penyokong tegar.”

Beliau berkata mereka akan menumpukan usaha kepada kumpulan tegar di mana pada PRU14 ia menyaksikan lebih 80 peratus pengundi keluar membuang undi.

“Dalam masa yang sama kita mahu fokus kepada 60 peratus pengundi yang tolak Umno, supaya sebilangan besar mereka boleh putuskan parti terbaik menyelamatkan negara daripada Umno ialah PH bukannya PN.

“Jika kita boleh dapat tarik 5 peratus hingga 6 peratus yang menyokong PN maka saya rasa itu sudah cukup untuk mengimbangi dan mengatasi sokongan 40 peratus yang Umno ada.

“PH kemudiannya boleh bertembung sama rata dengan Umno masing-masing dengan 35 peratus dalam tempoh lima bulan akan datang.”

Rafizi berkata, apabila mereka sampai ke peringkat itu (sokongan 35%) maka ia akan menarik penyokong tegar untuk keluar mengundi.

Jadi, dalam tempoh dua minggu terakhir waktu kempen, akan ada peluang yang lebih tinggi untuk menarik golongan atas pagar kepada PH.

Katanya, berbanding 10 tahun lalu, dengan bantuan media sosial, ia mengambil masa yang lebih singkat untuk memikat pengundi.

“Adakah mustahil untuk buat? Tidak mustahil. Jika ia mampu, ia akan jadi satu tugas yang mencabar.

“Ia akan jadi satu cabaran untuk dapatkan keputusan. Kita tidak boleh berlari pada kelajuan yang sama dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Kami perlu pecut.

“Jadi, dalam PKR, fokusnya adalah untuk menyusun semula organisasi untuk membantu kita pecut dan gandakan kelajuan.

“Cabarannya ialah sama ada kita boleh tingkatkan produktiviti kempen kita kepada dua kali ganda atau tiga kali ganda dalam tempoh tiga bulan akan datang,” katanya.

Media sosial main peranan besar dalam PRU15

Rafizi juga berkata media sosial akan memainkan peranan besar dalam mendekati pengundi dalam era digital memandangkan PRU15 dijangka tidak lama lagi.

“Berdasarkan data yang kita ada, maklumat politik yang diterima pengundi melalui ceramah tidak sampai 10 peratus.

“Sebahagian besar, kira-kira 65%, mendapat maklumat politik mereka daripada media sosial.

“Media sosial malah mengatasi portal berita yang hanya 20 peratus daripada sumber maklumat yang orang ramai peroleh mengenai politik.”

Tambahnya, PKR mempunyai kehadiran media sosial yang lebih baik berbanding DAP dan Amanah.

“Sebagai contoh Umno tidak ada sesiapa lagi kecuali bekas perdana menteri Najib Razak. Jika anda tolak beliau ke tepi maka seluruh media sosial mereka akan runtuh,” kata Rafizi.

“PAS tidak ada apa-apa yang boleh capai tahap Umno atau PKR, manakala Bersatu tidak ada daya tarikan media sosial berbanding PKR dan Umno.

“Hanya parti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Muda, mempunyai sesuatu yang setanding.”

Pada 2018, sejarah tercipta di Dewan Rakyat, apabila PH berkuasa dengan menewaskan BN.

Selepas 22 bulan mentadbir negara PH tumbang akibat Langkah Sheraton.

Pada Ahad, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PRU15 akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau menggesa rakyat bekerja keras seolah-olah pilihan raya akan diadakan esok. – 4 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen