PKR tidak bimbang pertembungan pelbagai penjuru pada PRU15, kata Rafizi


Noel Achariam

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yakin PH mampu merampas Putrajaya jika berjaya mendapatkan sokongan pengundi atas pagar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2022.

PKR tidak gentar berdepan pertandingan pelbagai penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang tetapi tumpuan kini adalah untuk mendapatkan sokongan pengundi atas pagar, kata Rafizi Ramli.

Timbalan presiden parti itu berkata jika mereka mampu mendapat sokongan kumpulan ini maka mereka berpeluang cerah untuk merampas Putrajaya.

Beliau berkata mengikut data Invoke bagi Jun, terdapat 62% pengundi atas pagar dan PKR hanya perlu mempengaruhi 30% untuk mendapatkan majoriti membentuk kerajaan.

“Pertandingan berbilang penjuru tidak semestinya merugikan Pakatan Harapan (PH). Isunya PH perlu merayu kepada pengundi atas pagar,” kata Rafizi kepada The Malaysian Insight.

“Pertandingan berbilang penjuru akan membolehkan lebih banyak pilihan untuk pengundi atas pagar. Jadi, dengan lebih banyak pilihan, mereka akan pergi ke parti dengan idea yang lebih membina dan dasar yang koheren.”

Rafizi berkata jika mereka dapat mendekati pengundi dalam tempoh tiga bulan akan datang maka kemungkinan mereka akan dapat menarik lebih ramai pengundi atas pagar.

Beliau berkata untuk PRU15 mereka menjangkakan pertembungan empat penjuru, kerana Pejuang sedang berusaha menubuhkan kumpulan mereka sendiri, maka akan ada Perikatan Nasional (PN), PH dan Barisan Nasional (BN).

“Saya percaya dengan kawasan utama tradisi adalah bandar, separa bandar dengan kerusi berbilang kaum, kita masih mempunyai kelebihan.”

Beliau berkata 110 daripada 165 kerusi di Semenanjung adalah kerusi tersebut (berbilang kaum).

“Jadi dalam pertembungan berbilang penjuru, PKR dan PH mempunyai kelebihan majoriti kerusi itu.”

Beliau berkata data bagi 62% pengundi atas pagar itu diperoleh daripada 2,500 responden yang mewakili sebahagian besar pengundi.

“Daripada 20 soalan yang diajukan kepada responden, soalan terakhir ialah jika pilihan raya akan diadakan esok, gabungan parti mana yang mereka akan undi,” kata Rafizi.

“Kebanyakan berkata mereka tidak tahu atau belum membuat keputusan lagi. Daripada 62% itu, bukan semua tidak membuat keputusan, ada yang tidak mahu mendedahkan siapa yang mereka suka.”

Beliau berkata ini tidak berlaku pada PRU14 kerana pada Mei 2018, mereka yang belum membuat keputusan semakin ramai yang cenderung kepada PH.

Rafizi berkata dalam pertembungan pelbagai penjuru jika parti itu mendapat antara satu pertiga daripada 62% undi maka mereka boleh menjadi blok terbesar di Parlimen.

“Apa-apa yang melebihi 40% daripadanya adalah kemenangan langsung. Pada masa ini kami mempunyai 15% sokongan tegar daripada jumlah pengundi.

“Umno mungkin 20% dan PN mungkin 12%.”

Rafizi berkata satu-satunya kebimbangan mereka ialah sekiranya PKR dapat memaksimumkan kempen pilihan raya mereka dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Parti paling sensitif dalam pertembungan pelbagai penjuru ialah PKR.

“Bukan DAP. Kerana parti itu kebanyakannya bertanding di kerusi majoriti Cina dan bukan Melayu serta tidak cukup parti alternatif sama ada BN atau PN untuk mencabar kerusi mereka.

“Jadi, bagi pertembungan berbilang penjuru, pilihatur bagi setiap segmen pengundi akan mempunyai implikasi besar walaupun sebanyak 2% atau 3%.”

Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata sebagai contoh jika parti baharu mengambil peratusan kecil daripada pengundi tradisi PKR, maka mereka boleh kalah.

“Jadi, bagi DAP tiada apa-apa bezanya, tetapi untuk kerusi PKR ia akan menjejaskan kita dan sudah tentu sedikit sebanyak Amanah yang turut bertanding di kerusi berbilang kaum.”

Mengenai peluang PKR pada PRU15, Rafizi berkata masih terlalu awal untuk berkata apa-apa.

“Walaupun keputusan di Melaka dan Johor memihak kepada Umno, jika kita lihat lebih dekat, ia menunjukkan sokongan kepada parti tidak berkembang.

“Umno menang kedua-dua negeri dengan kira-kira 40% undi. Sudah pasti masalahnya adalah undi pecah antara PN dan PH.

“Jadi, walau apa pun Umno buat, sokongan mereka tidak berganjak sejak 2018 (PRU14),” tambah Rafizi. – 4 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen