112 wanita masuk hospital gas kilang bocor di India


Seramai 112 wanita telah dimasukkan ke hospital akibat kebocoran gas di sebuah kilang buat pakaian di India. – Gambar Facebook, 3 Ogos, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 112 wanita telah dimasukkan ke hospital akibat kebocoran gas di sebuah kilang buat pakaian di India, kata polis.

Para pekerja mengadu loya dan muntah di sebuah kilang di daerah Atchutapuram di negeri selatan Andhra Pradesh pada malam Selasa.

“Semua wanita tersebut stabil. Tiada kematian. Siasatan sedang dijalankan,” kata pegawai kanan polis M. Upendra kepada AFP.

Kemasukan ke hospital itu sama seperti kemalangan pada Jun apabila kira-kira 200 wanita jatuh pengsan selepas kebocoran gas di kawasan yang sama, lapor penyiar NDTV.

Pada 2020, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan ratusan dimasukkan ke hospital selepas kebocoran gas di sebuah loji kimia di Visakhapatnam, sebuah bandar pelabuhan perindustrian di negeri yang sama.

Pada 1984, India menyaksikan salah satu bencana perindustrian terburuk dalam sejarah apabila gas bocor dari kilang racun perosak di Bhopal, sebuah bandar di tengah India.

Kira-kira 3,500 orang yang tinggal di sekitar loji yang dikendalikan oleh Union Carbide meninggal dunia pada hari-hari selepas kebocoran itu. Orang ramai terus mengalami kesannya sehingga ke hari ini.

Kanak-kanak masih dilahirkan cacat, dengan kaki dan tangan berselaput, dan pertumbuhan terbantut kerana gas yang menjejaskan ibu mereka. – AFP, 3 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen