Kabinet Sri Lanka lulus cadangan struktur semula bayaran  hutang


Presiden Ranil Wickremesinghe yang juga menteri kewangan membentangkan usul di Kabinet pada Isnin dan mencadangkan agar Sri Lanka mengenal pasti pemegang ISB negara serta menyampaikan rancangan penstrukturan semula kerajaan dengan mereka. – Gambar AFP, 3 Ogos, 2022.

KABINET Sri Lanka pada Selasa memaklumkan pihaknya telah meluluskan cadangan untuk mendapatkan khidmat dua syarikat antarabangsa bagi mengenal pasti pemegang Bon Daulat Antarabangsa (ISB) di negara ini untuk menyampaikan rancangan penstrukturan semula pembayaran hutang dengan pihak berkenaan, lapor Xinhua.

Jurucakap Kabinet Bandula Gunawardena memberitahu media bahawa Sri Lanka sedang menghadapi krisis ekonomi terbesar sejak merdeka dan negara itu tidak mampu membayar hutang asingnya.

“Kami perlu bekerjasama dengan Tabung Kewangan Antarabangsa dan kami perlu menyusun semula hutang kami. Sri Lanka telah menggantung pembayaran balik dua jenis pinjaman, iaitu pinjaman dua hala dan ISB.

“ISB merupakan sebilangan besar hutang asing Sri Lanka kerana negara telah menerbitkan ISB bernilai kira-kira AS$18 bilion dari 2007 hingga 2019.

“Terdapat ramai pelabur dari Amerika Syarikat (AS) United Kingdom, Perancis, Jerman. Kami perlu mengenal pasti mereka dan ini adalah proses yang kompleks,” katanya.

Presiden Ranil Wickremesinghe yang juga menteri kewangan, membentangkan usul di Kabinet pada Isnin dan mencadangkan agar Sri Lanka mengenal pasti pemegang ISB negara serta menyampaikan rancangan penstrukturan semula kerajaan dengan mereka.

“Kabinet meluluskan cadangan itu. Masalah ini memerlukan input pakar asing kerana ini masalah antarabangsa,” katanya.

Menurut Fitch Ratings, pembayaran hutang mata wang asing terkumpul Sri Lanka antara 2022 dan 2026 berjumlah kira-kira AS$26 bilion.– Bernama, 3 Ogos, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen