Polis tumpaskan sindiket seludup rokok di Kluang


Hasil intipan selama tiga bulan, akhirnya polis berjaya jumpa dan rampas tiga kenderaan yang "disembunyikan" serta 4,000 karton rokok jenama L.A Bold di ladang kelapa sawit dekat Paloh. – Gambar Facebook, 2 Ogos, 2022.

POLIS berjaya menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup di sekitar kawasan Kluang dan sekitarnya dengan tertangkapnya seorang lelaki warga tempatan dan merampas 4,000 karton rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM400,000 pada Isnin minggu lepas.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki tersebut ditahan di sebuah ladang kelapa sawit dekat Paloh pada 12 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, hasil intipan selama tiga bulan.

Beliau berkata turut ditemukan di ladang kelapa sawit tersebut  tiga kenderaan yang “disembunyikan” serta 4,000 karton rokok jenama L.A Bold disimpan dalam 80 bungkusan berwarna coklat di bahagian belakang kenderaan tersebut.

“Selain rokok yang disyaki rokok tidak bercukai, kenderaan yang dirampas terdiri daripada sebuah kereta Proton Exora berwarna emas, Toyota Vellfire berwarna putih dan Toyota Alphard berwarna putih

“Nilai anggaran rokok dirampas adalah RM400,000; nilai cukai rokok sebanyak RM568,000 dan nilai kenderaan yang dirampas sebanyak RM240,000 menjadikan keseluruhan rampasan bernilai lebih RM1.2 juta,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di Kluang hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen (35)(1) Akta Kastam 1967.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. – Bernama, 2 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen