Najib isytihar miliki aset bernilai RM4.49 juta pada mahkamah


Pemfailan mahkamah oleh Najib Razak mendedahkan aset terbesarnya adalah baki deposit RM2.52 juta dalam ASNB dan RM1.24 juta dalam akaun semasanya dengan Affin Bank. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2022.

BEKAS perdana menteri Najib Razak memfailkan kepada mahkamah pada 20 Julai yang beliau mempunyai aset bernilai RM4.49 juta setakat 30 Jun, menurut laporan portal berita Malaysiakini.

Aset terbesarnya ialah baki deposit RM2.52 juta dalam Amanah Saham Nasional Berhad dan yang kedua terbesar ialah RM1.24 juta dalam baki akaun semasanya dengan Affin Bank.

Pendedahan aset itu adalah untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada injunksi mareva pada 24 Mac terhadapnya oleh SRC International dan anak syarikatnya Gandingan Mentari.

Ia sebahagian daripada saman sivil RM42 juta kedua-dua entiti itu terhadap Najib.

Portal itu menyatakan dokumen mahkamah menunjukkan Najib memiliki tujuh bidang tanah dan harta di Pahang dan Selangor dengan nilai keseluruhan RM460,987 dan lapan kenderaan - lima Mercedes Benz, Bentley Continental Flying Spur, motosikal Honda EX5 dan motosikal Kawasaki ZG - secara kolektif bernilai RM252,000.

Empat daripada Mercedes, Bentley, dan Kawasaki disenaraikan dalam pemfailan sebagai “hadiah”.

Injunksi mareva ialah perintah pembekuan aset oleh mahkamah. 

Ia melarang mana-mana pihak mengalihkan sebarang aset daripada bidang kuasa mahkamah sementara menunggu keputusan tuntutan mahkamah berkaitan.

Justeru, injunksi itu melarang Najib daripada memindahkan, melupuskan, berurusan dengan atau mengurangkan nilai mana-mana aset di dalam dan luar Malaysia sehingga nilai RM42 juta, sementara menunggu pelupusan akhir saman utama.

Najib yang turut berdepan perintah injunksi sama yang diambil oleh 1MDB berhubung saman sivil AS$8 bilion (RM35 bilion), dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada Julai 2020 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah bagi pertuduhan rasuah berkaitan RM42 juta yang diterimanya daripada SRC International.

Selepas gagal dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lepas, Najib membawa rayuannya ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuannya mulai 15 Ogos. – 2 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen