MAHKAMAH Perancis semalam menolak permohonan tokoh ilmuwan Islam terkemuka, Tariq Ramadan yang ditahan kerana tuduhan rogol, untuk dibebaskan atas sebab kesihatan, kata sumber guaman.
Peguam Tariq mendesak pembebasannya sejak ditahan pada 2 Februari, berhujah sklerosis berbilang yang dihadapinya tidak dapat dirawat dengan sempurna di penjara.
Profesor Universiti Oxford itu yang juga cucu kepada pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin, menafikan tuduhan itu yang mendakwa beliau merogol dua wanita Islam di Perancis.
Pemeriksaan kesihatan yang diperintahkan oleh mahkamah pada minggu lalu mendapati keadaan kesihatan cendekiawan warganegara Switzerland itu membolehkan beliau berada dalam tahanan.
Sehari selepas ujian itu dilakukan, beliau dimasukkan ke hospital selama empat hari kerana menurut peguamnya, keadaan kesihatannya semakin teruk.
Tariq mengadu ujian perubatan itu terlalu asas dan doktor yang memeriksanya tidak mempunyai akses kepada rekod kesihatannya.
Beliau enggan tampil ke mahkamah pada Khamis di mahkamah rayuan di Paris.
Dua wanita yang mendakwa Tariq membuat laporan polis pada penghujung Oktober, dengan kedua-duanya mendakwa dirogol di bilik hotel di Perancis.
Henda Ayari, 41, berkata beliau membuat keputusan menuduh Tariq secara terbuka selepas terdorong daripada kempen terhadap penderaan dan gangguan seksual “Me Too”.
Ayari, seorang aktivis feminisme yang sebelum ini mengamalkan konservatif Islam, berkata Tariq merogolnya di sebuah bilik hotel di Paris pada 2012.
Penuduh kedua, seorang wanita kurang upaya yang tidak dinamakan mendakwa Tariq merogolnya dan memukulnya di sebuah bilik hotel di Lyon pada 2009.
Pihak berkuasa Perancis memerintahkan Tariq ditempatkan dalam tahanan selepas didakwa, susulan tertuduh berpotensi untuk melarikan diri.
Peguamnya gagal membebaskannya walaupun bersedia untuk menyerahkan pasport, ikat jamin 50,000 euro dan lapor diri setiap hari di balai polis.
Penyokong Tariq – termasuk dua juta pengikut di Facebook – menyelar dan marah kerana penahanannya, dengan ramai mendakwa Tariq menjadi sasaran kerana beliau seorang Muslim.
Ayari mendapat perlindungan polis sejak November selepas menerima ugutan bunuh. – AFP, 23 Februari, 2018.
Komen