Instruktor penerbangan maut dalam nahas pesawat ringan di Ipoh


Kalidevi Mogan Kumarappa

Keadaan pesawat ringan yang terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Ipoh malam ini. – Gambar Bomba Perak, 1 Ogos, 2022.

SEORANG jurulatih penerbangan meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah apabila pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas di Ipoh, Perak, pada Isnin demikian menurut Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid.

Menurut Mior, mangsa yang cedera sudah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan.

Dalam pada itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Perak, berkata, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.10 malam.

“Setibanya di tempat kejadian didapati terdapat sebuah kapal terbang bersaiz kecil terhempas.

“Terdapat dua mangsa dan bomba segera menjalankan kerja mengeluarkan mereka,” katanya.

Kedua-dua mereka dikeluarkan masing-masing pada jam 9.25 dan 9.35 malam.

Menurut maklumat Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, mangsa yang maut bernama Fajim Juffa Mohd Mustafa Kamal, 52, pesara Tentera Udara Diraja Malaysia, manakala mangsa yang cedera adalah Muhammad Din Fikri, 62.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata beliau mengarahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian itu secepat mungkin.

“CAAM juga akan mengeluarkan kenyataan akhbar apabila butiran lanjut dapat dikumpul.

“Saya difahamkan Pusat Operasi Kecemasan CAAM diaktifkan pada jam 9 malam ini sebaik difahamkan dua juruterbang terbabit dalam kejadian itu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

CAAM dalam satu kenyataan memaklumkan mereka menerima panggilan mayday daripada pesawat itu pada jam 8.07 malam.

Ketua pegawai Eksekutif CAAM Chester Voo berkata, Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Ipoh menerima panggilan pada jam 8.07 malam.

“Pesawat yang terbabit adalah Piper 28-161, pendaftaran 9M-BAA dan dikendalikan oleh BATS Aviation Sdn Bhd.

“Seorang juruterbang maut akibat kecederaan itu manakala seorang lagi juruterbang mengalami kecederaan parah dan kini menerima bantuan perubatan.

“Siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.

Menurut CAAM pesawat itu berdaftar dengan BATS Aviation Sdn Bhd, yang mengendalikan pusat latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh. – 1 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen