Idea persatuan pelajar tangani inflasi juga diambil kira, kata Annuar


Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa berkata kerajaan menerima hakikat bahawa mahasiswa dan mahasiswi antara golongan yang dianggap rentan serta mudah terkesan apabila berlaku inflasi, kenaikan barang dan sebagainya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2022.

PASUKAN Khas Jihad Tangani Inflasi akan melakukan libat urus dengan kepimpinan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mendengar pandangan mereka berkaitan kenaikan harga barang dan inflasi.

Pengerusi pasukan khas itu Annuar Musa berkata hal ini kerana kerajaan menerima hakikat bahawa masyarakat kampus ataupun mahasiswa dan mahasiswi adalah antara golongan yang dianggap rentan serta mudah terkesan apabila berlaku inflasi, kenaikan barang dan sebagainya.

“Datuk Seri Mustapa Mohamed (menteri di Jabatan Perdana Menteri - Ekonomi) akan mengusulkan satu program untuk libat urus berterusan yang akan kita lakukan bersama dengan kepimpinan mahasiswa di kampus-kampus IPTA (IPT awam) dan IPTS (IPT swasta).

“Kita telah mengenal pasti kira-kira 80 IPTA dan IPTS yang mempunyai persatuan-persatuan mahasiswa yang akan turut dilibatkan dalam program engagement yang kita akan lakukan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan khas itu hari ini.

Annuar, yang juga menteri komunikasi dan multimedia, berkata pasukan khas itu mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana banyak langkah telah diambil termasuk lebih 800 kantin atau premis di kampus melaksanakan skim menyediakan makanan bermasak pada harga RM3.50.

Annuar juga berkata libat urus seperti itu turut dilaksanakan dengan pemain industri bagi membolehkan pasukan khas memahami dengan lebih mendalam masalah mereka.

Beliau berkata ketika ini, pasukan khas itu telah bertemu dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia bagi membolehkan mereka mengemukakan pandangan dan syor mengenai kenaikan kos dalam sektor pembuatan.

Katanya usaha itu akan disusuli libat urus dengan pelbagai lagi persatuan atau pemain industri dalam sektor lain.

“Pendekatan ini bukan sahaja usaha untuk mengawal kenaikan harga barangan tertentu malah kita mula membuat libat urus dengan segmen yang lebih besar selaras dengan tumpuan kepada tiga skop.

“Selain melibatkan skop perbelanjaan Keluarga Malaysia untuk keperluan makanan, kita juga akan beri perhatian kepada skop perbelanjaan bagi tujuan pengangkutan dan perumahan,” katanya.

Annuar berkata pasukan khas itu meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan tidak berlaku keadaan yang boleh menyumbang kepada kadar inflasi negara. – Bernama, 1 Ogos, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen