28 lelaki ditahan ketika leka sabung ayam di Melaka


POLIS menahan 28 lelaki termasuk dua penjawat awam selepas terbabit aktiviti pertaruhan sabung ayam dalam serbuan di sebuah kebun di Duyong, Melaka semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Christopher Patit berkata kesemuanya yang berusia 25 hingga 66 tahun dan disyaki aktif dengan kegiatan itu sejak lima bulan lalu, ditahan sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) pada jam 1.45 pagi.

“Siasatan mendapati aktiviti itu dianjurkan setiap hujung minggu pertama dan keempat, bermula pada jam 10 malam hingga 4 pagi mengikut permintaan setempat di kawasan tanah persendirian bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

“Nilai taruhan tertinggi adalah RM550 bagi sekali pertaruhan dan paling rendah RM110 namun majoriti pertaruhan mereka adalah RM220. Aktiviti ini dihebahkan secara lisan manakala pengunjung dalam kalangan kenalan dan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata, polis turut merampas peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti itu dan wang tunai kira-kira RM11,000 daripada mereka.

Beliau berkata, polis memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan kegiatan seumpama itu kerana ia satu perbuatan penganiayaan ke atas haiwan.

Menurutnya, semua lelaki itu diikat jamin dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1952 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membabitkan diri dalam sebarang aktiviti pertaruhan dan penganiayaan terhadap binatang yang akan mendatangkan kesan buruk kepada diri dan masyarakat,” katanya. – Bernama, 1 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen