SEORANG anggota polis berpangkat inspektor bersama dua konstabel ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengambil sejumlah wang ketika melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Pasir Kelang Baru, Kuala Krai, Kelantan pada Selasa lalu (26 Julai).
Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan tiga anggota berusia antara 20-an dan 30-an itu dilakukan Sabtu lalu (30 Julai) selepas menerima laporan seorang pengadu wanita.
Beliau berkata, berdasarkan aduan diterima, wanita berusia 68 tahun itu memaklumkan pada jam 4.30 petang Selasa lalu rumahnya didatangi tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis bagi menahan anak lelakinya berhubung kesalahan dadah.
“Wanita itu mendakwa polis itu meminta anak kunci almari dan menggeledah almari kayu di dalam biliknya sebelum mengambil wang hasil jualan tanah dan santan berjumlah kira-kira RM45,000 untuk sitaan,” katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.
Menurutnya, pengadu kemudian pergi ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Krai tetapi dimaklumkan hanya wang berjumlah RM4,500 sahaja yang disita.
Muhamad Zaki berkata, pegawai dan anggota polis yang ditahan itu kini direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan.
Katanya, sehingga kini tiada pengakuan daripada ketiga-tiga yang ditahan dan siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.
“Serbuan ke rumah itu sebenarnya bagi menahan anak lelaki pengadu berusia 20-an dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Bernama, 1 Ogos, 2022.
Komen